Kejayaan ekonomi perlu diterjemah kepada manfaat rakyat
KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan kuasa beli rakyat, bukan sekadar diukur melalui angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pertumbuhan KDNK sebanyak enam peratus pada suku kedua 2026 yang membawa pertumbuhan separuh pertama kepada 5.7 peratus merupakan petunjuk positif terhadap momentum ekonomi negara.
“Pertumbuhan enam peratus pada suku kedua menunjukkan ekonomi Malaysia terus mempunyai momentum yang kukuh walaupun berdepan persekitaran global yang mencabar.
“Namun, kejayaan ekonomi tidak boleh diukur melalui angka pertumbuhan semata-mata.
“Yang lebih penting ialah peluang pekerjaan yang lebih baik, peningkatan pendapatan dan kuasa beli rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini memaklumkan KDNK negara berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, lebih tinggi berbanding 5.4 peratus yang direkodkan pada suku pertama.
Pertumbuhan berkenaan disokong oleh permintaan domestik yang kekal kukuh, prestasi eksport elektrik dan elektronik yang menggalakkan serta perkembangan positif sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Pasaran buruh turut kekal berdaya tahan, manakala tekanan harga berada pada tahap terkawal dengan kadar inflasi 1.9 peratus.
Prestasi itu dicapai ketika ekonomi global terus berdepan ketidaktentuan, termasuk kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang berpotensi mempengaruhi harga tenaga, kos logistik serta rantaian bekalan.
Akmal berkata, kerajaan menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus memantau perkembangan ekonomi serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kesan perkembangan luaran terhadap rakyat dan sektor perniagaan dapat ditangani dengan berkesan.
“Tumpuan MTEN fokus kepada empat langkah utama iaitu menjamin bekalan, memanjangkan tempoh bekalan, mengekang kenaikan harga dan memanfaatkan peluang ekonomi.
“Keutamaan adalah untuk memastikan bekalan kekal mencukupi, harga terkawal dan aktiviti perniagaan dapat diteruskan, di samping memanfaatkan peluang baharu daripada perubahan ekonomi dan rantaian bekalan global,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








