Anugerah Tokoh Siswa Negara pentas berprestij iktiraf kepimpinan mahasiswa
PUTRAJAYA – Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025 melakar sejarah tersendiri apabila menghimpunkan 246 pencalonan dengan 75 finalis yang bersaing merebut 17 kategori utama dan khas, sekali gus menjadi pentas pengiktirafan berprestij mahasiswa di peringkat nasional.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, penganjuran ATSN kali ini menyaksikan persaingan luar biasa melibatkan pemenang dari setiap universiti awam dan swasta serta mewakili pelbagai bidang kepimpinan.
“Sudah tentu bukan mudah untuk bergelar penerima ATSN kerana mereka mewakili universiti masing-masing dan bersaing di peringkat nasional. Tahniah kepada semua pemenang kerana kejayaan ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi kemenangan kolektif mahasiswa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis ATSN yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di sini, kelmarin.

Dr Norkhalid berkata, sebagai penganjur, UPSI menampilkan kelainan dengan mengetengahkan konsep ‘gold’ pada majlis kali ini sebagai simbol prestij, selain mendapat sokongan lebih 600 penonton termasuk majlis perwakilan pelajar yang hadir memberi sokongan kepada calon masing-masing.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelaskan, objektif utama ATSN adalah mengiktiraf sumbangan mahasiswa dan badan pelajar IPT, memupuk nasionalisme, meningkatkan kebolehsaingan serta melahirkan semangat pewaris kepimpinan negara.
Sebanyak 11 kategori tokoh individu dipertandingkan meliputi kepimpinan, seni warisan, keusahawanan, rekreasi, inovasi, kesukarelawanan, khidmat komuniti, inklusiviti, perpaduan dan kelestarian siswa.
Selain itu, turut dipertandingkan Anugerah Sinergi Kepimpinan (kategori berkumpulan) serta empat Anugerah Penghargaan Khas, manakala ATSN menjadi anugerah utama yang ditawarkan.
“KPT yakin penganjuran ini bukan sekadar pentas pengiktirafan mahasiswa terbaik, malah penanda aras melahirkan pemimpin muda global melalui kepimpinan, inovasi, kesukarelawanan dan jaringan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pemenang Tokoh Daya Usaha dan Inovasi Siswa, Sugunah Sandran, 25, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, inovasi baginya bukan hanya sekadar produk tetapi sejauh mana ia memberi impak kepada masyarakat.
Baca juga : Anugerah Tokoh Siswa Negara lahirkan pemimpin muda masa depan negara
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Makanan dan Pemakanan itu berkata, beliau memberi tumpuan kepada inovasi berteraskan protein alternatif serta makanan lestari selain terlibat aktif dalam program pembangunan berterusan termasuk persidangan antarabangsa.
“Perjalanan saya banyak diinspirasikan oleh mereka yang melakukan inovasi. Bagi saya, inovasi adalah usaha memberi nilai tambah kepada orang lain, bukan hanya mencipta sesuatu yang baharu,” katanya.
Menurutnya lagi, setiap kegagalan harus dijadikan maklum balas yang membina, manakala semua individu di sekeliling boleh dianggap mentor kerana masing-masing memberi ilmu dan pengalaman berguna untuk masa depan.
“Setiap orang yang anda temui menyumbang sedikit sebanyak kepada pembentukan diri anda. Jangan berhenti berusaha kerana setiap langkah itu akan melengkapkan ‘puzzle’ kehidupan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















