PM terima laporan tahunan JKmR, tegas komitmen perangi rasuah
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen memerangi rasuah ketika menerima pembentangan laporan tahunan pertama Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKmR) semalam.
Melalui hantaran di media sosial, Anwar memaklumkan menerima kunjungan hormat JKmR yang diketuai Pengerusinya, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Menurut Anwar, laporan berkenaan merangkumi penelitian serta pemeriksaan JKmR terhadap Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tahun 2021 hingga 2024.

Katanya, dapatan itu membolehkan JKmR mengenal pasti trend dan perkembangan semasa berkaitan usaha pencegahan rasuah serta cabaran yang dihadapi SPRM.
“Saya akan mengemukakan Laporan Tahunan ini kepada Mesyuarat Jemaah Menteri di samping membincangkannya secara mendalam bersama pengurusan SPRM,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, komitmen Kerajaan MADANI terhadap ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik tidak pernah berganjak.
“Setiap syor dan dapatan dalam laporan ini akan diteliti dengan serius agar reformasi institusi terus diperkukuh, ketirisan dibendung dan keyakinan rakyat diperteguh.
“Insya-Allah, kita akan memastikan usaha membina negara yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi terus menjadi keutamaan tertinggi,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








