[VIDEO] Lebih 100 usahawan meriahkan Pavilion Sektor Keusahawanan MARA sempena ulang tahun ke-60
KUALA LUMPUR – Sambutan Hari MARA ke-60 disemarakkan dengan penyertaan lebih 100 usahawan pelbagai sektor di Pavilion Sektor Keusahawanan MARA dalam usaha memperkasa ekosistem keusahawanan tempatan ke tahap lebih mampan dan berdaya saing.
Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) MARA, Nor Uyon Shoib berkata, acara yang berlangsung di Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu menghimpunkan usahawan dalam bidang makanan dan minuman (F&B), gaya hidup serta sektor profesional di bawah program MARA.
Menurutnya, selain pameran reruai, pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan di pentas utama bagi menarik kehadiran pengunjung sepanjang program berlangsung dari 1 hingga 5 Mei.

“Pengisian program bukan sahaja memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kemudahan dan inisiatif yang ditawarkan MARA, malah membuka peluang kepada usahawan mempromosikan produk mereka secara langsung kepada pengguna,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau berkata, pelbagai produk ditawarkan termasuk batik, makanan dan minuman pada harga berpatutan, selain kemudahan ruang santai seperti kafe tempatan bagi memberikan pengalaman lebih selesa kepada pengunjung.
Dalam pada itu, Nor Uyon berkata, MARA terus menggalakkan usahawan mengadaptasi teknologi digital dalam perniagaan melalui pelbagai inisiatif termasuk Geran Pendigitalan Perniagaan.

Katanya, geran itu boleh dipohon menerusi portal MyUsahawan dan disokong kerjasama strategik bersama pemain industri seperti TikTok dan Lazada bagi meningkatkan keupayaan pemasaran serta jualan dalam talian.
“Usahawan perlu sentiasa proaktif dan mengambil peluang terhadap kemudahan yang disediakan agar mampu berkembang lebih jauh terutamanya dalam pemasaran digital,” katanya.
Mengulas tarikan utama program, beliau berkata, acara ‘MARA in Fashion Runway’ yang dijadualkan berlangsung esok, bakal menampilkan rekaan fesyen usahawan serta pelajar institusi TVET MARA dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Rembau dan GIATMARA.
Menurutnya, koleksi yang dipersembahkan bukan sahaja berkualiti tinggi, malah pernah dipamerkan di peringkat antarabangsa termasuk di World Expo Osaka 2025.
@malaysiatribune Portal MyUsahawan menjadi antara pemangkin utama dalam memperkasa usahawan tempatan apabila inisiatif digital itu terus membuka akses kepada latihan, pembiayaan dan pemasaran dalam talian, seiring usaha MARA membina ekosistem keusahawanan lebih inklusif dan berdaya saing. #malaysiatribune #beritasemasa #MARA #usahawan
“Pada saya ia bukan calang-calang penyertan dan saya yakin pelajar-pelajar ini mempunyai masa depan yang baik kerana mereka dapat menghasilkan satu produk yang membanggakan di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, ekosistem keusahawanan MARA yang komprehensif merangkumi pembangunan kapasiti melalui kursus dalam talian, penyediaan premis perniagaan serta sokongan pembiayaan dan khidmat nasihat kepada usahawan.

Tambahnya, khidmat sokongan itu disediakan di seluruh negara melalui pejabat MARA negeri dan daerah bagi memastikan akses yang lebih meluas kepada komuniti usahawan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, MARA kini mempunyai hampir 50,000 usahawan aktif merangkumi perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, gaya hidup, F&B, pembinaan dan automotif.
Sebagai contoh, program Workshop Enhancement Programme (WEP) diperkenalkan khusus bagi membantu usahawan bengkel automotif melalui latihan, pembiayaan dan khidmat pakar runding untuk mengembangkan perniagaan secara lebih tersusun.
“Ini antara usaha berterusan MARA bagi meningkatkan kapasiti dan daya saing usahawan tempatan dalam pelbagai bidang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








