BERITA SEMASA

TVETMARA bukan sekadar penjenamaan semula – Asyraf Wajdi

CYBERJAYA – Jenama TVETMARA merupakan satu langkah strategik dalam menegaskan komitmen MARA sebagai peneraju agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, strategi menyeluruh itu adalah bagi mengukuhkan identiti, reputasi dan kredibiliti institusi TVET MARA supaya lebih jelas, moden, konsisten dan berimpak global.

“Dengan ekosistem TVET yang lengkap merangkumi program dari peringkat sijil hingga PhD, MARA kekal komited melahirkan tenaga mahir berdaya saing, berteraskan nilai murni serta keusahawanan.

“Penjenamaan semula itu turut mencerminkan sokongan dan komitmen Kerajaan dalam memperkasa agenda TVET sebagai pemacu penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan daya saing industri negara,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluncurkan penjenamaan semula 25 institusi di bawah Bahagian Kemahiran Teknikal MARA iaitu IKM, KKTM dan MJII disatukan di bawah satu jenama baharu iaitu TVETMARA.

Asyraf Wajdi menambah, sempena peluncuran itu, Institut Kemahiran MARA (IKM) Seberang Perai Utara akan melaksanakan Pelan Transformasi untuk dinaik taraf sebagai Akademi Pakar Tenaga Elektrik Nasional (NEST) yang akan berperanan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang elektrik dan tenaga boleh diperbaharui.

“Insya-Allah, TVETMARA akan terus menjadi pemangkin pembangunan bakat tenaga mahir negara serta menyokong aspirasi Timbalan Perdana Menteri bagi memperkasakan agenda pendidikan TVET negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button