Graduan TVET MARA mendunia, raih gaji RM20,000 di Qatar – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Seorang graduan Institut Kemahiran MARA (IKM) membuktikan bahawa pendidikan dalam bidang kemahiran mampu membawa kejayaan besar hingga ke peringkat antarabangsa apabila kini bekerja di Qatar dengan pendapatan lumayan.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di Facebook hari ini, berkongsi pertemuannya dengan seorang anak muda dikenali sebagai Ibrahim ketika dalam penerbangan pulang dari Doha ke Kuala Lumpur.
Katanya, Ibrahim yang merupakan anak jati Merlimau, Melaka dan lulusan Sijil Teknologi Fabrikasi dari IKM Kampung Pandan, kini bekerja sebagai mekanik penyelenggaraan badan kapal terbang bersama Qatar Airways.
“Dia beritahu saya gajinya sekitar RM17,000 hingga RM20,000 sebulan. Hebat anak muda ini dan beliau sangat bangga memperkenalkan dirinya sebagai anak MARA,” katanya.
Menurutnya, Ibrahim turut memaklumkan bahawa hampir semua rakan sekelasnya dari IKM Kuala Lumpur kini turut bekerja dalam industri sama dengan pendapatan yang setara.
“Siapa kata lulusan TVET tidak boleh berjaya? Ibrahim adalah contoh bagaimana dengan hanya sijil kompetensi dan profesional dalam bidang TVET, seseorang boleh mengubah kehidupan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa MARA terus komited melahirkan tenaga mahir melalui pelbagai institusi seperti GiatMARA, IKM, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Malaysia-Japan Industrial Institute (MJII), German-Malaysian Institute (GMI) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Menurutnya, institusi-institusi ini telah berjaya membuktikan bahawa pendidikan teknikal dan vokasional bukan sahaja mampu memenuhi keperluan tenaga kerja negara malah berdaya saing di pentas global.
“MARA akan terus mendunia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |























One Comment