MARA perkenal kelas murajaah Al-Quran di semua institusi pendidikan
KUALA LUMPUR – Kesemua 344 institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal mewujudkan kelas murajaah Al-Quran untuk para pelajar sebagai usaha memperkasa keseimbangan antara pencapaian akademik dan kerohanian.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melalui satu hantaran di Facebook beliau pagi ini.
“Semua 344 Institusi Pendidikan MARA akan diwujudkan kelas khas murajaah (ulangkaji) hafazan Al-Quran bagi memastikan keseimbangan antara akademik/teknikal dan kelestarian hafazan Al-Quran dapat diperkasa dan dipelihara,” tulis beliau.
Menurutnya lagi, kelas khas itu adalah untuk para huffaz yang mengikuti program-program akademik dan teknikal di Institut Pendidikan MARA (IPMa).
“Semoga ada juga kelas untuk pelajar yang baru nak berjinak-jinak dengan hafazan,” katanya lagi.
Kelmarin, melalui satu perkongsian di Facebook, Asyraf Wajdi menunjukkan aktiviti murajaah hafazan Al-Quran bersama anaknya, Ammar yang merupakan seorang penuntut di Universiti Islam Madinah.
“Malam ini seperti kelaziman bila ada ruang waktu antara Magrib dan Isyak, saya ambil peluang untuk mentasmik dan tebuk hafazan Ammar,” kongsi beliau.
BACA : Graduan TVET MARA mendunia, raih gaji RM20,000 di Qatar – Asyraf Wajdi
Difahamkan, anak lelaki sulung beliau kini sedang bercuti dengan tanggungan tiket oleh pihak universiti.
Menerusi perkongsian tersebut, Asyraf Wajdi turut berpesan kepada para penghafaz Al-Quran agar sentiasa melakukan murajaah.
“Untuk para huffaz, jangan ingat bila dah hafal Quran, akan mudah ingat sampai bila-bila. Bahkan nak mengekalkan hafazan lebih sukar.
“Sebab itu saya selalu pesan kepada anak-anak huffaz di Institusi Pendidikan MARA tidak kira yang berada di Giat Mara, MRSM, IKM, KKTM, KPM, UniKL, UPTM dan lain-lain sentiasa murajaah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















