BERITA SEMASA

MARA lantik bekas tentera sebagai warden sepenuh masa di semua MRSM mulai 2027

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melantik warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara bermula 1 Januari 2027.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat susulan dapatan Kajian Keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera yang dilaksanakan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.

Menurutnya, kajian diketuai Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman dari Institut Pengajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mendapati, pelantikan bekas tentera sebagai warden memberi kesan positif terhadap aspek disiplin dan keselamatan pelajar.

“Antara dapatan utama kajian ialah warden bekas tentera berkesan mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama selain mendapat penerimaan positif daripada pelajar, ibu bapa serta pentadbir.

“Kehadiran warden secara kerap dan sistematik juga meminimumkan ruang berlakunya buli dan vandalisme,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, pelajar turut dilaporkan berasa lebih selamat selain menunjukkan pematuhan lebih baik terhadap jadual, kekemasan diri dan asrama serta mengamalkan nilai hormat dan adab.

Katanya, penglibatan warden terbabit dalam aktiviti keagamaan turut membantu memperkukuh aspek kerohanian pelajar.

“Pada masa sama, langkah ini dapat mengurangkan beban guru supaya mereka boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik dan bimbingan sahsiah pelajar,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, hasil kajian turut menunjukkan penurunan ketara dalam isu disiplin pelajar, manakala kes buli sepanjang tempoh keberadaan warden terbabit dilaporkan hampir sifar.

Beliau berkata, berdasarkan dapatan positif projek rintis itu, 10 MRSM telah melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera sejak Julai lalu.

“Alhamdulillah, hasilnya setakat ini amat positif dengan penurunan kes-kes disiplin secara drastik di semua MRSM yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta UPM bekerjasama dengan MARA dalam menyediakan modul latihan khusus kepada warden baharu selain meneruskan kajian berkaitan isu buli mental secara lebih menyeluruh.

“Terima kasih dan penghargaan kepada seluruh pasukan penyelidik IPSAS UPM atas kajian yang menyeluruh dan amat bermanfaat buat MARA serta MRSM,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button