Pelajar cemerlang SPM tidak mampu sambung belajar dapat perhatian Pengerusi MARA
KUALA LUMPUR – Kisah seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang namun tidak mahu menyambung pengajian kerana kemiskinan mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Kisah mengenai pelajar perempuan bernama Mimi itu dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial, Diyaa Irdina di laman Facebook beliau beberapa hari lalu.
“Tolong bagi maklumat penuh kepada saya. Insya-Allah, MARA boleh bantu untuk pelajar ini masuk ke salah satu Institusi Pendidikan MARA (IPMA) mengikut kecenderungannya dengan pembiayaan penuh beserta wang saku bulanan,” komen Dr. Asyraf di status tersebut.
Menurut Diyaa, Mimi menolak peluang untuk menyambung pelajarannya kerana ingin bekerja untuk membantu ibu dan adik-adiknya.
Katanya, dia mengenali Mimi ketika mengikut rakannya yang merupakan seorang guru sekolah memberi bantuan kepada anak muridnya.
“Ayah dia penagih, keluar masuk pusat serenti, pusat pemulihan, penjara. Mak dia masih setia di sisi. Kakak yang kerja kedai makan tolong serba sedikit. Adik-adik? Masih kecil. Semua perempuan,” tulisnya.
Selepas memberi bantuan, Diyaa sempat berpesan pada rakannya.
“Tolong pastikan budak ini berjaya. Jangan bagi dia ulang kitaran yang sama. Dia kena jadi pemutus rantai derita ini.
“Dia kena keluar. Biar dia selamatkan adik-adik dan maknya. Kalau dia tak mampu sambung belajar, kita cari jalan. Kita tolong, kita usaha,” ceritanya lagi.
Bersama hantaran tersebut, beliau turut memuat naik gambar keputusan SPM Mimi yang meraih 5A, 3B. Subjek yang cemerlang termasuklah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pertanian.
“Aku minta yang baca tulisan aku ni pun doakanlah Mimi dibukakan pintu hatinya.
“Aku rasa bukan dia tak mahu belajar lagi tapi keadaan. Ada orang lahir dengan sayap, tapi keadaan yang patahkan satu persatu. Harapnya kali ini, kita sempat bantu dia terbang sebelum semuanya hilang,” tulis Diyaa Irdina menutup penulisannya.
Setakat artikel ini ditulis, hantaran tersebut telah meraih 3,900 reaksi, 803 komen dan 4,300 perkongsian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








