MARA henti taja pelajar ke Amerika
LONDON — Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan menghantar pelajar tajaan ke Amerika Syarikat (AS) bermula tahun ini, susulan pelaksanaan dasar baharu yang diperkenalkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan langkah tersebut diambil setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk ketidakpastian dasar imigresen AS, peningkatan kos sara hidup serta isu keselamatan pelajar.
“Kita telah berbincang dengan pelajar yang sedang mengikuti program persediaan ke AS dan memaklumkan kepada mereka berkenaan peralihan ini.
“Mereka akan ditawarkan pilihan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang sama ke negara lain seperti United Kingdom, Australia, New Zealand, Jepun dan China,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurut beliau, negara-negara tersebut menawarkan kos pendidikan yang lebih rendah, malah turut memiliki kepakaran dalam bidang-bidang tumpuan seperti kejuruteraan, sains komputer serta teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan dan robotik.
“Kos di negara-negara ini lebih berpatutan berbanding Amerika Syarikat, selain persekitaran polisi yang lebih stabil dan mesra pelajar antarabangsa,” jelas beliau.
Asyraf menjelaskan MARA sedang mengadakan rundingan bersama 266 pelajar tajaannya yang kini berada di AS bagi membolehkan mereka membuat peralihan akademik ke negara lain tanpa menjejaskan kemajuan pengajian masing-masing.
“Dasar baharu AS termasuk langkah menyekat pemprosesan visa serta penapisan ketat berdasarkan media sosial menimbulkan kegusaran terhadap keselamatan dan kelangsungan akademik pelajar kita di sana. Maka kita tidak boleh ambil risiko,”tambahnya.
Lawatan beliau ke United Kingdom disertai pertemuan strategik dengan pihak pengurusan tertinggi serta profesor kanan di Universiti Cambridge, bertujuan meneroka potensi kolaborasi MARA-Cambridge dalam meningkatkan mutu pendidikan dan pembangunan modal insan negara.
“Kita ingin mewujudkan jaringan kerjasama antarabangsa yang dapat memperkukuh agenda pendidikan MARA di peringkat global,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








