LUAR NEGARA

Sepanyol sekali lagi dilanda gempa bumi

MADRIDBerselang hanya tiga hari, Sepanyol sekali lagi dikejutkan dengan gempa bumi di wilayah Granada, selatan negara itu dengan gegaran cetek berkedalaman kira-kira lima kilometer, pukul 10.37 pagi tadi (waktu tempatan).

Institut Geografi Nasional Sepanyol (IGN) merekodkan gegaran berukuran 4.8 magnitud itu berpusat berhampiran Gójar, kira-kira 10 kilometer di selatan bandar Granada.

Gempa menyebabkan tiga orang awam cedera, bangunan rosak dengan serpihan jatuh ke atas jalan dan mengakibatkan kerosakan pada kenderaan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa Sepanyol turut mengosongkan sebahagian kompleks bersejarah Alhambra termasuk Istana Nasrid dan Alcazaba bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dilakukan.

“Beberapa bangunan pentadbiran, muzium dan kemudahan sukan turut ditutup sementara, manakala operasi Metro Granada diperlahankan atas faktor keselamatan,” lapor media tempatan.

Related Articles

Dua gegaran susulan bermagnitud 4.0 dan 4.2 turut direkodkan selepas gempa utama, manakala keseluruhan wilayah Granada merekodkan lebih 150 gegaran sejak 14 Ogos lalu.

Susulan perkembangan itu, kerajaan wilayah Andalucía mengaktifkan Fasa 1 Pelan Kecemasan Seismik bagi memantau risiko serta menangani kesan yang mungkin timbul akibat aktiviti gempa bumi berterusan.

Menteri Wilayah bagi Pengurusan Kecemasan, Antonio Sanz, turut mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Pelan Seismik dan menggesa orang ramai supaya mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Gempa terbaharu itu berlaku hanya beberapa hari selepas gempa bermagnitud sekitar 5.0 menggegarkan kawasan Alhendín pada Sabtu lalu.

Kejadian tersebut turut menyebabkan kerosakan pada bangunan dan kenderaan, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Pihak berkuasa Andalusia kini mengekalkan tahap berjaga-jaga berikutan aktiviti seismik yang masih berlaku dan menggesa penduduk supaya bertenang serta mematuhi arahan keselamatan rasmi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button