Hampir tiada sampah, KPKT buktikan kejayaan PKM sepanjang pelancaran I LITE U
KUALA LUMPUR – Tahap kesedaran dan disiplin orang ramai dalam menjaga kebersihan kawasan awam semakin meningkat hasil pelaksanaan undang-undang baharu Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) yang mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026.
Perkara itu dinyatakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui pemerhatian sepanjang pelancaran inisiatif “I LITE U” di Bukit Bintang di sini, baru-baru ini apabila hampir tiada sampah ditemui walaupun acara itu menghimpunkan lebih 20,000 pengunjung.
“Kejayaan tersebut bukan sahaja mencerminkan perubahan tingkah laku positif masyarakat bandar, malah membuktikan keberkesanan pelaksanaan PKM.
“Sepanjang acara berlangsung, kawasan tumpuan awam termasuk laluan pejalan kaki dan lokasi persembahan didapati berada dalam keadaan bersih dan terpelihara, sekali gus menyerlahkan tahap kesedaran sivik yang semakin meningkat dalam kalangan pengunjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPKT menegaskan bahawa pembangunan fizikal bandar seperti pencahayaan landskap perlu seiring dengan disiplin masyarakat dalam menjaga kebersihan persekitaran.
Menurut kementerian itu, kejayaan penganjuran “I LITE U” membuktikan bahawa gabungan pengindahan bandar dan pematuhan undang-undang mampu mewujudkan persekitaran bandar yang selamat, teratur serta mesra pelawat.
Pencapaian berkenaan turut memperkukuh kesiapsiagaan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), selain mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membudayakan amalan kebersihan secara mampan bagi meningkatkan imej bandar utama negara di peringkat antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








