BERITA SEMASA

Dataran Merdeka dipenuhi sampah selepas tayangan final Piala Dunia 2026

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melahirkan rasa kecewa apabila mendapati kawasan Dataran Merdeka dipenuhi sampah sarap selepas ribuan penyokong bola sepak berhimpun menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dan Argentina, awal pagi tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, DBKL memaklumkan pihaknya akan menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan, namun menegaskan tanggungjawab menjaga kebersihan ibu negara tidak seharusnya dipikul oleh petugas pembersihan semata-mata.

sampah
DBKL melahirkan rasa sedih apabila pengunjung yang datang hanya meninggalkan sampah tanpa dibuang.

“Awal pagi tadi, ribuan orang berhimpun untuk bersorak, meraikan bola sepak dan berkongsi kegembiraan. Namun apabila sorakan berakhir, padang bersejarah ini ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah sarap.

“DBKL akan membersihkannya. Petugas kami akan turun mengutip apa yang ditinggalkan, tetapi kebersihan Kuala Lumpur tidak seharusnya sentiasa bergantung pada orang lain yang datang membersihkan selepas kita pulang,” menurut kenyataan itu.

DBKL turut mengingatkan bahawa Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi penganjuran acara, sebaliknya merupakan simbol maruah dan sejarah negara yang perlu dipelihara bersama.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, cara masyarakat meninggalkan kawasan berkenaan selepas sesuatu acara mencerminkan tahap penghargaan mereka terhadap warisan negara.

“Kita boleh meraikan dengan meriah. Kita boleh bersorak sepuasnya, tetapi kebebasan untuk bergembira tidak pernah bermaksud kebebasan untuk mengotorkan ruang milik bersama.

“Kota yang hebat bukan hanya dinilai ketika orang ramai datang, tetapi melalui keadaan yang mereka tinggalkan apabila pulang,” katanya.

Sehubungan itu, DBKL menyeru orang ramai agar bersama-sama memupuk budaya menjaga kebersihan setiap kali menghadiri acara awam, selain menganggap Kuala Lumpur sebagai rumah sendiri yang perlu dipelihara demi keselesaan semua.

“Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jagalah seperti kita menjaga rumah sendiri,” menurut hantaran itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button