BERITA SEMASA

Tiga rumah setinggan musnah dalam kebakaran

KUALA LUMPUR – Tiga rumah setinggan separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Ismail Ghani, Kampung Kasipillay, Sentul, awal pagi tadi.

Kejadian pukul 1.15 pagi itu turut menyebabkan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun mengalami kecederaan melecur pada badan dan kaki.

Penolong Pengarah Operasi Negeri, PgKB I Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran itu membabitkan tiga rumah setinggan separuh kekal atau bangunan kelas C, dengan keluasan keseluruhan kira-kira 4,872 kaki persegi.

“Ketika pasukan bomba tiba di lokasi, kebakaran didapati melibatkan tiga rumah setinggan separuh kekal dan kesemuanya musnah 100 peratus.

“Seorang mangsa lelaki berusia 26 tahun mengalami kecederaan melecur pada bahagian badan dan kaki,” katanya dalam kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan di Zon Merah.

Operasi memadam kebakaran membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dengan bantuan BBP Hang Tuah dan BBP Gombak Selatan.

Seramai 28 anggota lain-lain pangkat digerakkan bersama tiga jentera FRT, sebuah Water Tanker dan sebuah EMRS.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya, manakala punca kejadian masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button