Kanak-kanak perempuan rentung, dua rumah musnah dalam kebakaran awal pagi
TAMBUNAN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut dalam keadaan tragis selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di Kampung Patau, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mayat mangsa ditemukan rentung di dalam sebuah bilik oleh pasukan bomba sebaik api berjaya dikawal.
Seorang wanita berusia 31 tahun pula dilaporkan mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 4.08 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 16 kilometer dari BBP Tambunan.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah dan tiga kenderaan. Terdapat dua mangsa dalam kejadian ini iaitu seorang kanak-kanak perempuan yang ditemukan rentung di dalam sebuah bilik serta seorang wanita dewasa yang mengalami kecederaan ketika menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BACA JUGA:
Kanak-kanak lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran tiga buah rumah
Nenek, cucu rentung dalam kebakaran rumah pekerja di Bintulu
Suami isteri warga emas rentung, rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran di Kudat
Beliau berkata, mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi pemadaman kebakaran dijalankan dengan menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya.
“Mayat kanak-kanak berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada pukul 7 pagi selepas pasukan memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada lagi bahaya,” katanya.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















