100 unit kediaman Program Smart Sewa ditawarkan kepada mangsa kebakaran Putra Heights
SEPANG — Kerajaan Negeri Selangor menerusi Program Smart Sewa menawarkan sebanyak 100 unit kediaman di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan kepada mangsa kebakaran di Putra Heights sebagai langkah segera menyediakan tempat tinggal yang selesa dan selamat.
EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Borhan Aman Shah memaklumkan setakat ini, 75 keluarga telah mendaftar untuk Program Smart Sewa dan proses penyerahan kunci dilakukan hari ini, seperti yang telah dijanjikan sebelum ini.
“Masih terdapat 20 unit yang belum diisi, dan selebihnya masih dalam proses membuat keputusan. Kita faham ada yang memerlukan masa untuk pertimbangan, tetapi bagi mereka yang berada dalam situasi mendesak, penyerahan kunci dibuat hari ini dan mereka boleh terus menduduki rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa rumah yang ditawarkan adalah unit baharu lengkap dengan kemudahan asas seperti kipas, lampu, bekalan elektrik dan air.
Setiap unit turut mempunyai dua petak parkir, tiga bilik tidur dan dua bilik air, dengan kadar sewaan hanya RM850 sebulan, jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa iaitu sekitar RM1,200 sebulan.
“Sebagai tambahan, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada mangsa yang layak. Ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu mereka yang terjejas,” tambah beliau.
Borhan turut menegaskan bahawa penyerahan kunci hari ini dilakukan tanpa sebarang bayaran deposit memandangkan kes berkenaan dikategorikan sebagai kes khas.
Menurutnya, pihak kerajaan sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan sambungan sewaan jika penerima masih memenuhi syarat kelayakan selepas tempoh yang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








