BERITA SEMASAPMX

PM cadang wujudkan pasukan khas perkukuh sistem audit negara

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan penubuhan pasukan khas yang sentiasa memantau dan memperkukuh sistem audit negara bagi memastikan proses pengauditan lebih efisien, telus dan berkesan.

Menurut Anwar, pasukan atau unit khas ini perlu berperanan meneliti setiap kelemahan sistem audit dan mengemukakan langkah-langkah penambahbaikan secara berterusan.

Jelas beliau, kelewatan dalam pengauditan boleh membuka ruang kepada ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan kelemahan pengurusan dana awam.

“Jadi kita ada harus pasukan yang selalu memikir, merenung, mencari cara untuk perbaiki mana ada ruang yang memungkinkan kebocoran dalam ruang yang memungkinkan tindakan itu agak lebih perlahan daripada biasa,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Peluncuran Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Baca juga : Sistem audit perlu berkesan, bukan membebankan rakyat – PM

Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan sistem audit tidak hanya perlu dilaksanakan dengan tegas dan telus, malah harus mendekati pihak yang terlibat serta rakyat tanpa menimbulkan bebanan.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan dasar dan program yang baik difahami serta diterima dengan jelas,” katanya.

Anwar menambah, kerajaan turut memperkenalkan Undang-undang Audit Pindaan 2024 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh reformasi pengauditan negara.

“Langkah ini bertujuan memastikan pengurusan tadbir urus negara lebih cekap, pantas, dan tepat,” katanya sambil menjelaskan sistem audit yang baik bukan sahaja menyemak kira-kira, tetapi juga memastikan keseluruhan sistem pengurusan awam berada pada tahap optimum.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button