RUU Tadbir Urus AI akan perinci isu hak cipta, lindungi pencipta tempatan – PM
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang sedang digubal kerajaan akan memberi tumpuan khusus terhadap isu hak cipta dan harta intelek termasuk penggunaan data berhak cipta dalam latihan sistem AI serta perlindungan terhadap pencipta dan pemegang hak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan RUU itu amat kritikal kerana ia bertujuan membangunkan kerangka tadbir urus komprehensif yang meliputi keseluruhan kitaran hayat sistem AI termasuk pembangunan, latihan, model, pelaksanaan sehinggalah pemantauan serta pengurusan risiko.
“Ia masih lagi di peringkat awal penggubalan, di peringkat kementerian dan tentunya akan diikuti dengan libat urus termasuk Jawatankuasa Khas Parlimen untuk meneliti dan membincangkan aspek-aspek yang mungkin tertinggal.
“Ini kerana ia merupakan suatu pendekatan dan ikhtiar baru bagi negara dan kebanyakan negara. Ia juga akan memperinci isu bertanggungjawaban atau accountability, isu etika dalam penggunaan dan melibatkan juga pembangun serta pelaksana sistem AI.
“Oleh kerana ia merupakan satu pendekatan dan ikhtiar baharu, ia juga memastikan bahawa undang-undang yang ada sekarang harus terpakai dan boleh dilaksanakan,” kata beliau ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjelaskan bahawa dalam menangani isu hak cipta, dua aspek utama diberi perhatian iaitu data yang dimasukkan ke dalam sistem AI untuk tujuan latihan dan hasil kandungan yang dikeluarkan oleh sistem tersebut.
Beliau berkata, undang-undang sedia ada termasuk Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan pelaksanaan di bawah Akta Hak Cipta 1987 perlu diperkasa bagi memastikan perlindungan hak cipta terus berkuat kuasa dalam era digital.
“MyIPO diminta digerakkan serta dipantau secara lebih berkesan supaya undang-undang sedia ada benar-benar dapat dilaksanakan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan mengenai pendekatan klasifikasi risiko seperti dalam EU AI Act, beliau berkata kerajaan sedang merangka AI Risk and Classification Framework yang merangkumi pengurusan risiko, pelaporan kemudaratan (harms) dan pelaporan insiden AI.
Menurutnya, aspek etika akan menjadi antara komponen penting dalam penggubalan RUU berkenaan.
“Dalam banyak sistem AI dan digital sekarang, pertimbangan etika seolah-olah diketepikan.
“Dalam kerangka kita, isu hak warga, bahaya serta risiko akibat mengabaikan pertimbangan moral dan akhlak akan dimuatkan,” katanya.
Beliau menegaskan pendekatan Malaysia mungkin berbeza daripada amalan di Barat yang lebih menumpukan perincian aspek perundangan semata-mata tanpa memberi penekanan mencukupi terhadap dimensi moral dan nilai.
Kerajaan juga memberi jaminan bahawa pendekatan pematuhan berperingkat (tier compliance) serta klasifikasi risiko akan dirangka secara seimbang bagi memastikan inovasi dan kreativiti terus berkembang tanpa membebankan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








