Malaysia, UAE perbaharui kerjasama empat bidang utama
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sepakat untuk memperbaharui kerjasama dalam beberapa bidang, termasuk tenaga, keselamatan makanan, teknologi dan pusat data.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dizahirkan semasa pertemuan beliau dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
Anwar yang kini berada di negara itu bagi lawatan kerja selama tiga hari, berkata, kerjasama itu bakal memajukan kepentingan bersama dan menyokong matlamat pembangunan mampan kedua-dua negara.
“Ruang lingkup ini saya gunakan bagi menyatakan penghargaan di atas jemputan lawatan kerja ke negara ini selain bertukar pandangan mengenai usaha mengembangkan perkongsian strategik antara kedua-dua negara selain isu-isu global.
“Kami juga sepakat untuk memperbaharui kerjasama dalam beberapa bidang utama, termasuk tenaga, keselamatan makanan, teknologi dan pusat data hatta bakal memajukan kepentingan bersama dan menyokong matlamat pembangunan mampan kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan memulakan hari kedua lawatan kerja dengan mengadakan pertemuan dengan tiga pengurusan kanan Dana Kekayaan Berdaulat negara itu di sini iaitu Pengarah Urusan ADIA Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala Khaldoon Khalifa Al Mubarak dan CEO Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








