PM lawat Kuantan esok, santuni rakyat dan belia
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan kerja sehari ke Kuantan pada Jumaat dalam usaha berterusan mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan dasar serta inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan di peringkat negeri dan daerah.
Menurut atur cara, Perdana Menteri akan memulakan lawatan dengan menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab sebelum beramah mesra bersama penduduk setempat.
Beliau kemudiannya dijadual mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Kuantan di Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan yang akan membincangkan pelbagai agenda pembangunan setempat.
Antara fokus utama termasuk memperkukuh ekonomi daerah, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lancar demi manfaat penduduk setempat.
Pada sebelah petang, Anwar dijangka menghadiri Himpunan Anak Pahang MADANI di pekarangan UTC Kuantan bermula jam 3 petang, yang dijangka menghimpunkan lebih 7,000 anak muda dari seluruh negeri itu.
Program tersebut bertujuan membina kesedaran serta memperkukuh pemikiran kritikal dalam kalangan belia, selain memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan negara.
Pada sebelah malam, lawatan diteruskan dengan Himpunan Pendekar MADANI Pahang di Kompleks SUKPA, yang menghimpunkan tokoh silat, guru serta pesilat dari seluruh negeri.
Program berkenaan dilihat signifikan dalam usaha memartabatkan seni silat sebagai warisan budaya bangsa, di samping memperkukuh nilai disiplin, perpaduan dan semangat persaudaraan.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi berkata, pendekatan tersebut selari dengan kerangka Malaysia MADANI yang memberi penekanan kepada pembangunan belia serta pemeliharaan warisan budaya negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








