BERITA SEMASAPMX

Dialog, diplomasi, pendekatan damai kunci penyelesaian isu Asia Barat

PUTRAJAYA – Pertikaian di Asia Barat hanya akan dapat diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan pendekatan damai.

Pendirian itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbualan telefonnya dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.

“Kami menyentuh perkembangan positif rundingan antara Iran dan AS, termasuk perbincangan berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz yang amat penting kepada kestabilan perdagangan dan keselamatan serantau.

“Lantas saya menyatakan penghargaan Malaysia akan peranan Pakistan dalam usaha pengantaraan berterusan serta kesediaannya menjadi tuan rumah bagi rundingan seterusnya,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam tadi.

Dalam perbualan itu, Anwar turut berbincang dengan Shehbaz mengenai isu kekejaman rejim Zionis di Palestin dan Lubnan.

“Kami juga berbincang mengenai kepentingan masyarakat antarabangsa bersuara dan mengambil langkah tegas untuk menghentikan keganasan dan kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza dan Lubnan,” katanya lagi.

Anwar seterusnya menambah, beliau turut menyatakan harapan supaya hubungan Malaysia-Pakistan terus dipererat bukan saja demi manfaat bersama tetapi untuk kepentingan sejagat.

“Kami berbincang mengenai pelbagai perkembangan serantau dan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan yang sekian lama terjalin erat.

“Saya turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada beliau serta rakyat Pakistan, dengan harapan semoga semangat pengorbanan dan persaudaraan terus memperkukuh keamanan dan kesejahteraan ummah.

“Insya Allah, hubungan Malaysia-Pakistan akan terus diperkukuh berlandaskan semangat persahabatan, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap keamanan serta kemakmuran sejagat,” kata Anwar lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button