PM ke Jakarta bincang isu dua hala, kukuhkan kestabilan serantau
JAKARTA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jakarta hari ini bagi memulakan lawatan kerjanya ke Indonesia.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri serta delegasinya mendarat di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur kira-kira pukul 1 tengah hari tadi (waktu tempatan) dan ketibaan beliau disambut oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, lapor BERNAMA.
Dalam perjumpaan dengan Prabowo, Anwar dijangka membincangkan isu-isu dua hala utama, susulan penglibatan ASEAN baru-baru ini, di samping meneroka agenda bagi mengukuhkan kestabilan serantau ketika Malaysia dan Indonesia meningkatkan lagi kerjasama strategik mereka.
Di Istana Merdeka, Perdana Menteri diberi penghormatan memeriksa barisan kehormat oleh Pasukan Keselamatan Presiden, sebelum majlis sambutan diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya saling memperkenalkan menteri Kabinet masing-masing, diikuti sesi bergambar dan menandatangani buku pelawat.
Menteri-menteri Kabinet yang menganggotai delegasi dari Malaysia terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Program diteruskan dengan pertemuan empat mata antara Anwar dan Prabowo, sebelum disusuli dengan mesyuarat dua hala lanjutan yang melibatkan menteri dari kedua-dua negara.
Mesyuarat itu dijangka memberi tumpuan kepada perdagangan, pelaburan, pendidikan, komunikasi, komoditi, dan hal ehwal serantau, selaras dengan portfolio menteri yang diwakili dalam delegasi Malaysia.
Lawatan itu juga adalah sebahagian daripada persiapan untuk Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13, yang dijadualkan berlangsung akhir tahun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








