Siasat Azam Baki: Tiada beza pendirian, siasatan mesti ikut peraturan – PM
KUALA LUMPUR – “Siasat, tapi sekarang ini siasat itu mestilah berdasarkan peraturan yang ditetapkan”.
Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab persoalan berhubung perbezaan pendiriannya dahulu dan kini melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau menegaskan, tiada perbezaan antara pendiriannya sebelum ini dengan sekarang, sebaliknya proses siasatan perlu berjalan secara telus dan mengikut peraturan ditetapkan.
“Tanya kalau beza, saya boleh jawab. Kita jangan buruk sangka, biar siasat dapat fakta sama ada Anwar dulu pernah mengemukakan, masih tertakluk kepada proses yang sama.
“Saya tanya dan mesti ada proses siasatan yang telus termasuk pemilikan saham dan tuduhan tohmahan tentang mafia korporat. Yang kedua-duanya itu tidak ditutup, itu bezanya,” katanya di Dewan Rakyat.
Baca juga : RCI dakwaan ‘Mafia Korporat’ terlalu awal, tunggu laporan Peguam Negara – PM
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung pendiriannya sebelum ini ketika di blok pembangkang yang mendesak Azam Baki bercuti bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap isu pemilikan saham.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, dalam kes melibatkan penjawat awam, lazimnya proses siasatan perlu didahulukan berdasarkan laporan rasmi sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Biasanya dalam pertuduhan terhadap mana-mana penjawat awam, ikut dulu proses laporan daripada penjawat awam dan dalam konteks ini, lebih tinggi kerana kita perluaskan skop bukan sahaja dari segi prosedur peraturan pentadbiran tapi diperluaskan skop, sebab itu Peguam Negara yang mempengerusikan,” jelasnya.
Beliau turut menyentuh isu pemilikan saham serta dakwaan mafia korporat yang dirujuk menerusi laporan Bloomberg, namun tidak bersetuju ia dianggap sebagai naskhah sahih.
“Laporannya termasuk isu yang harus kita teliti, isu pemilikan saham dan juga soal apa yang ditohmah melalui Bloomberg yang dirujuk sebagai naskhah sahih oleh Yang Berhormat Machang yang saya tidak bersetuju. Walau bagaimanapun, oleh kerana ada tohmahan kita patut teliti dan siasat,” katanya.
Tegas beliau, siasatan ketika ini berjalan mengikut dua kaedah iaitu di peringkat Peguam Negara dan boleh dilanjutkan sekiranya didapati tidak memadai.
“Peraturan yang ditetapkan, dua kaedah. Pertama, peringkat Peguam Negara, tetapi boleh dilanjutkan. Malah dalam syarat Jemaah Menteri, kita putuskan untuk dilanjutkan sekiranya didapati siasatan itu tidak memadai dan meliputi skop bantahan yang dimukakan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








