BERITA SEMASAPMX

RCI dakwaan ‘Mafia Korporat’ terlalu awal, tunggu laporan Peguam Negara – PM

KUALA LUMPUR – Siasatan berhubung dakwaan yang dibangkitkan menerusi dokumentari Bloomberg tetap diteruskan sekiranya mempunyai asas kukuh, namun cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ketika ini disifatkan sebagai terlalu awal dan pramatang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun kerajaan terbuka menerima laporan daripada mana-mana media, tindakan siasatan tidak akan dibuat berdasarkan tohmahan semata-mata.

“Isu dibangkitkan kalau ada asas, masih terus disiasat. Bukan sekadar tohmahan biasa. Kita tidak siasat ribuan tohmahan diberikan ke atas pimpinan atau mana-mana tokoh, melainkan ada asasnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau
Veraman mengenai pendedahan dokumentari Bloomberg berhubung kewujudan rangkaian “Mafia Korporat”, yang dikaitkan dengan SPRM.

Menurut beliau, tindakan tegas telah diambil terhadap sindiket berskala besar melibatkan kawasan dari Pelabuhan Klang ke Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang sehingga Sabah dan Sarawak.

“Tindakan yang diambil hanya sejak 2023. Sindiket itu bertapak selama puluhan tahun,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyatakan penghargaan kepada badan-badan penguat kuasa yang mengambil risiko besar dalam memecahkan sindiket berkenaan.

“Saya mulakan dengan sikap yang sangat positif, meraikan dan menyatakan penghargaan kepada badan-badan penguatkuasaan, kerana bila mereka ambil tindakan, dia ambil tindakan kerana komitmen dan risiko yang mereka sedia faham bila sindiket-sindiket besar ini dapat dipecahkan,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan memperketat kawalan dan pemantauan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau mengambil sikap terbuka terhadap sebarang pandangan penambahbaikan.

“Saya terima ada cadangan supaya dapat diperkemas, diperketat betul-betul kawalan, walaupun ada, tetapi ada pandangan boleh diperketat dan saya anggap ambil sikap terbuka supaya kita boleh cari jalan mana-mana kaedah dari badan penguatkuasaan yang dianggap harus diberi pemantauan yang lebih teliti,” jelasnya.

Berhubung cadangan penubuhan RCI, beliau berkata, perkara itu wajar diteliti selepas laporan siasatan diketuai Peguam Negara dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

“Bagi kita agak ‘premature’, terlalu awal. Kerana pertama, siasatan yang diketuai oleh Peguam Negara itu akan siap minggu ini, dalam beberapa hari.

“Jadi kita tengok dulu, apakah kemunasabahan, rasional untuk melanjutkan dan dalam bidang apa yang perlu untuk diteliti.

“Saya tidak menerima atau menolak. Biarlah kita ikut prosesnya. Pertama, mendapat dulu laporan daripada Peguam Negara, yang tidak akan tertangguh kerana Peguam Negara memaklumkan kepada saya laporan akan disediakan dalam tempoh satu hingga dua hari ini. Kemudian, kalau ada rasional untuk melanjutkan, itu kita akan lanjutkan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button