BERITA SEMASA

Network School bukan IPTS berdaftar, tiada kerjasama dengan universiti tempatan – KPT

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan Network School yang beroperasi di Forest City bukan sebuah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang berdaftar di bawah kementerian dan tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan universiti tempatan.

Menurut KPT, pihaknya mengambil maklum isu yang tular berhubung pengoperasian Network School di Forest City serta pelbagai dakwaan yang dikaitkan dengannya.

Menurut kementerian itu, Network School tidak berdaftar sebagai IPTS di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555], sekali gus bukan sebuah institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf atau dikawal selia oleh KPT.

“Hasil semakan KPT juga mendapati tiada sebarang kerjasama, pengiktirafan atau penglibatan Universiti Awam (UA) mahupun IPTS berdaftar dengan Network School berdasarkan rekod sedia ada,” menurut kenyataan itu hari ini.

KPT menjelaskan berdasarkan maklumat yang diperoleh, Network School merupakan sebuah komuniti kediaman swasta dan ruang kerja bersama (co-working space) yang menumpukan kepada golongan usahawan teknologi, pelabur serta pengamal syarikat pemula (startup).

Pada masa sama, kementerian memaklumkan pihak berkuasa berkaitan sedang meneliti isu berkenaan mengikut bidang kuasa masing-masing.

KPT turut memberi jaminan akan terus memantau perkembangan isu itu serta memberikan kerjasama penuh kepada semua agensi penguat kuasa bagi memastikan undang-undang negara dipatuhi dan kepentingan sistem pendidikan tinggi negara sentiasa terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button