BISNES & EKONOMI

Selat Hormuz ditutup lagi, Malaysia perlu bersedia hadapi impak ekonomi

PUTRAJAYA – Malaysia perlu bersedia menghadapi kemungkinan impak ekonomi susulan penutupan semula Selat Hormuz berikutan ketegangan terbaharu di Asia Barat selepas serangan Amerika Syarikat terhadap Iran pada 8 Julai lalu.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasir berkata, meskipun sebahagian trafik komersial masih dilaporkan bergerak, keadaan itu tidak boleh dipandang ringan kerana ekonomi negara sekali lagi terdedah kepada ketidaktentuan global.

Menurut beliau, kerajaan, peniaga dan rakyat perlu bersiap siaga menghadapi tekanan terhadap harga minyak, kos pengangkutan, tempoh penghantaran serta harga bahan mentah di peringkat antarabangsa.

“Isu yang paling penting ialah bekalan dan harga makanan untuk rakyat. Kita juga perlu mengurangkan tekanan yang ditanggung pesawah akibat peningkatan kos pengeluaran supaya tidak menjejaskan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak RM45.98 juta telah diagihkan melalui Insentif Pembajakan kepada Pesawah melibatkan 118,908 pesawah di Semenanjung Malaysia bagi membantu menampung peningkatan kos pengeluaran.

Akmal turut menegaskan kepentingan menangani cabaran yang dihadapi industri tempatan susulan tekanan terhadap rantaian bekalan global yang boleh menjadi lebih ketara sekiranya konflik berpanjangan.
“Kesan krisis itu bukan sahaja melibatkan sektor tenaga, malah boleh merebak ke pelbagai industri lain termasuk pembungkusan makanan, komponen elektrik dan elektronik (E&E), automotif, peranti perubatan, pembinaan, pertanian serta eksport pembuatan.

“Apabila industri plastik tertekan, kesannya boleh merebak kepada banyak sektor lain yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global dan akhirnya memberi kesan kepada pengguna,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, kerajaan sedang mempercepat pembangunan ekosistem rantaian bekalan negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar dan meningkatkan daya tahan ekonomi domestik.

“Peranan Kementerian Ekonomi adalah untuk memaklumkan keadaan sebenar supaya semua pihak dapat mengambil langkah sewajarnya dengan lebih pantas dan berkesan.

“Kita semua tidak boleh leka dan perlu menyesuaikan diri dengan cabaran ekonomi akibat konflik di Asia Barat yang masih belum surut,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button