BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Kanak-kanak bawah 16 tahun tidak lagi dibenar miliki akaun media sosial di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR – Kerajaan mewajibkan penyedia perkhidmatan media sosial berlesen melaksanakan mekanisme pengesahan umur bagi memastikan individu berusia di bawah 16 tahun tidak dibenarkan mendaftar atau memiliki akaun media sosial, selaras dengan usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan mekanisme itu bukan bertujuan menghalang kanak-kanak daripada menggunakan media sosial secara kekal, sebaliknya menangguhkan pemilikan akaun sehingga mereka mencapai umur 16 tahun dan mempunyai tahap kematangan yang lebih sesuai untuk menggunakan platform digital secara selamat serta bertanggungjawab.

Beliau berkata, pendekatan yang dikenali sebagai inisiatif ‘Tunggu 16’ itu diperkenalkan bagi melindungi kanak-kanak dan keluarga daripada risiko serta kemudaratan dalam talian.

“Kanak-kanak merupakan golongan yang lebih terdedah kepada risiko dalam talian kerana masih berada dalam fasa perkembangan kognitif, emosi dan sosial.

“Peningkatan akses kepada kandungan, interaksi dan sistem algoritma digital telah mewujudkan pelbagai risiko termasuk pendedahan kepada kandungan memudaratkan, eksploitasi dalam talian serta penggunaan platform secara berlebihan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai tujuan pelaksanaan pengesahan umur bagi akaun media sosial serta langkah kerajaan memastikan penyedia perkhidmatan berlesen hanya mengakses data peribadi yang terhad dan memadamkan data selepas tujuan pengumpulannya dipenuhi.

Fahmi berkata, keperluan memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian turut menjadi keutamaan di peringkat antarabangsa dengan beberapa negara seperti Australia, Brazil dan Indonesia telah memperkenalkan mekanisme pengesahan umur serta reka bentuk perkhidmatan yang bersesuaian mengikut umur.

Menurut beliau, selaras dengan perkembangan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerbitkan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code – CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code – RMC) pada 22 Mei lalu yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026 di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

Katanya, CPC mewajibkan penyedia perkhidmatan aplikasi (ASP) dan penyedia perkhidmatan aplikasi kandungan (CASP) berlesen yang menawarkan platform media sosial melaksanakan mekanisme pengesahan umur, bukannya pengesahan identiti.

“Mekanisme pengesahan umur hendaklah disokong menggunakan dokumen rasmi yang dikeluarkan Kerajaan Malaysia seperti MyKad, pasport, sijil kelahiran atau dokumen lain yang diiktiraf kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa pelaksanaan mekanisme berkenaan perlu mematuhi undang-undang perlindungan data peribadi dengan mengamalkan prinsip peminimuman data (data minimisation) dan pengehadan tujuan (purpose limitation).

“Penyedia perkhidmatan hanya boleh mengumpul maklumat yang diperlukan bagi tujuan pengesahan umur dan wajib melupuskan data tersebut selepas proses pengesahan selesai.

“CPC juga tidak menetapkan penggunaan teknologi tertentu, asalkan objektif untuk menghalang pengguna bawah umur 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial dapat dicapai tanpa menjejaskan keselamatan data dan privasi pengguna,” katanya.

Fahmi berkata, bagi mengelakkan mekanisme itu dimanipulasi, kerajaan menetapkan beberapa syarat termasuk pengesahan umur mesti disokong rekod rasmi kerajaan dan bukannya sekadar pengisytiharan sendiri.

Selain itu, penyedia perkhidmatan media sosial turut diwajibkan melaksanakan ciri keselamatan berasaskan reka bentuk (safety by design), memperkukuh perlindungan mengikut umur serta mematuhi semua keperluan perlindungan data.

“Tindakan penguatkuasaan termasuk penalti kewangan boleh dikenakan terhadap penyedia perkhidmatan berlesen yang gagal mematuhi keperluan ditetapkan di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button