Remaja Malaysia ditahan bawa 3kg bunga ganja di Hong Kong dipercayai keldai dadah
KUALA LUMPUR – Remaja lelaki warga Malaysia berusia 19 tahun yang ditahan bersama tiga kilogram bunga ganja di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong minggu lalu dipercayai menjadi mangsa sindiket dadah yang merekrutnya sebagai keldai dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semakan pihaknya mendapati suspek yang berasal dari Sarawak tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah di Malaysia.
Menurut beliau, polis sudah menerima pengesahan berhubung penahanan suspek daripada pihak berkuasa Hong Kong selepas dia tiba di lapangan terbang negara itu pada 9 Julai lalu.
“Pihaknya masih belum memperincikan identiti sindiket yang dipercayai merekrut suspek atau pihak yang membekalkan dadah terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum itu, Kastam Hong Kong memaklumkan suspek tiba dari Kuala Lumpur melalui Singapura sebelum ditahan ketika pemeriksaan kastam.
Pemeriksaan terhadap bagasi berdaftar suspek menemukan kira-kira tiga kilogram bahan disyaki bunga ganja bernilai HK$500,000 (sekitar RM260,000).
Mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong, kesalahan mengedar dadah berbahaya boleh dikenakan hukuman denda maksimum HK$5 juta (kira-kira RM2.6 juta) atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Penahanan remaja itu berlaku kurang sebulan selepas seorang lagi rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau bersama hampir tiga kilogram heroin bernilai kira-kira RM2.09 juta.
Suspek berusia lingkungan 20-an itu juga berasal dari Sarawak dan dipercayai direkrut sindiket dadah untuk mengambil bekalan dadah di sebuah negara Asia Tenggara sebelum menyeludupnya ke Macau.
Dalam kes berkenaan, dadah seberat 2,987 gram itu ditemui disembunyikan dalam 49 tin berlabel pes tuna yang dibungkus bersama biskut.
Menurut Hussein, JSJN sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Macau serta agensi penguat kuasa dadah negara jiran bagi mengenal pasti dalang dan ahli sindiket yang terbabit.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan bahawa kes penahanan di Hong Kong dan Macau mempunyai kaitan atau melibatkan sindiket yang sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








