BERITA SEMASA

Banjir Nepal: Malaysia timbang hantar SMART, JBPM atau bantuan kewangan – PM

SEBERANG JAYA – Kerajaan sedang mempertimbang beberapa bentuk bantuan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) bencana banjir di sempadan Nepal-Tibet, termasuk kemungkinan menggerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) atau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan sama ada menghantar pasukan penyelamat atau menyalurkan bantuan berbentuk kewangan dan perubatan akan dibuat selepas kerajaan memperoleh maklumat terkini mengenai keadaan di lokasi bencana.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini sedang menyelaras perkara itu, termasuk mendapatkan senarai terkini rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan.

“Keputusan akan dibuat sama ada menghantar pasukan SMART atau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membantu kerja-kerja menyelamat (SAR) di sana atau bantuan berbentuk kewangan dan perubatan.

“Kita sedang mendapatkan senarai terkini. Terdapat beberapa puluh rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sembilang, di sini hari ini.

Anwar berkata, kerajaan turut meneliti laporan yang diterima daripada beberapa negara jiran termasuk India, China dan Bangladesh bagi memastikan rakyat Malaysia yang terjejas berada dalam keadaan selamat.

Terdahulu, Jabatan Pelancongan Nepal menerusi dokumen bertajuk ‘Tourist list (out of contact) in Bhotekoshi Flood’ menyenaraikan 51 rakyat Malaysia yang masih terputus hubungan susulan banjir besar di kawasan sempadan Nepal-Tibet.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button