BERITA SEMASA

Banyak destinasi lain di Nepal, jauhi Rasuwa – Pendaki Solo

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang merancang melancong ke Nepal dalam masa terdekat dinasihatkan supaya tidak memasuki daerah Rasuwa susulan banjir besar dan ancaman banjir susulan yang masih berlaku di kawasan berkenaan.

Pengusaha syarikat pelancongan di Nepal, Mohd Noor Amin atau lebih dikenali sebagai Pendaki Solo berkata, Rasuwa yang sebelum ini menjadi antara destinasi popular untuk aktiviti trekking kini tidak selamat untuk dimasukkan dalam itinerari sehingga keadaan benar-benar selamat dan mendapat pengesahan pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, kemusnahan berpuluh kilometer jalan raya, 39 buah jambatan, premis perniagaan, hotel dan kemudahan asas di kawasan terbabit akan mengambil tempoh yang lama untuk dipulihkan.

“Buat masa ini saya nasihatkan rakyat Malaysia supaya jangan masuk ke kawasan Rasuwa seperti Langtang Valley, Kyanjin Gompa dan Gatlang yang terjejas.

“Jangan ambil risiko semata-mata kerana mahu meneruskan rancangan trekking atau mengunjungi kawasan yang sebelum ini menjadi tumpuan pelancong.

“Kalau sudah mempunyai rancangan ke kawasan berkenaan, lebih baik ubah itinerari dan pilih destinasi lain yang masih boleh memberikan pengalaman menarik di Nepal,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune petang ini.

Mohd Noor Amin bersama isteri, Durati pun.

Bencana banjir lumpur yang melanda kawasan sempadan Nepal-China pada Rabu lalu menyebabkan kemusnahan teruk di daerah Rasuwa dan kawasan sepanjang laluan sungai, selain mengorbankan ratusan nyawa.

Ancaman baharu turut timbul selepas sebuah tasik empangan mula melimpah dan berisiko mencetuskan bencana berulang.

Menurut Mohd Noor, pelancong tidak semestinya perlu membatalkan perjalanan ke Nepal kerana negara itu mempunyai banyak destinasi lain yang boleh dijadikan pilihan, bergantung kepada keadaan semasa dan akses perjalanan.

Katanya, antara pilihan yang boleh dipertimbangkan ialah Kathmandu, Pokhara, Bandipur dan Chitwan yang menawarkan pengalaman berbeza termasuk tarikan kebudayaan, pemandangan Himalaya, kawasan warisan serta aktiviti alam semula jadi.

“Yang penting ialah jangan terlalu terikat dengan itinerari asal. Dalam keadaan seperti ini, operator pelancongan perlu bersedia mengubah laluan dan menggantikan destinasi yang berisiko dengan lokasi lain.

“Pelancong juga perlu berbincang dengan operator tempatan kerana kami lebih mengetahui keadaan jalan, akses ke sesuatu kawasan dan perubahan keselamatan yang berlaku dari semasa ke semasa,” katanya sambil menasihatkan semua pelancong mendapatkan insurans perjalanan di negara itu.

Tasik Pokhara yang menjadi antara destinasi paling popular di Nepal.
Destinasi untuk pendakian di sebelah timur Nepal.

Beliau berkata, pelancong yang sudah membuat tempahan pakej juga disaran menghubungi ejen atau operator masing-masing bagi mendapatkan pilihan menukar destinasi, tarikh atau aktiviti sekiranya kawasan asal tidak lagi selamat.

Katanya, rakyat Malaysia yang mahu mendapatkan perkhidmatan operator tempatan pula perlu memastikan mereka berurusan dengan syarikat yang mempunyai rekod operasi jelas dan bukan individu tidak dikenali yang menawarkan pakej menerusi media sosial.

“Jangan hanya melihat harga murah. Minta maklumat syarikat, itinerari lengkap, penginapan, pengangkutan dan siapa yang akan menguruskan perjalanan sepanjang berada di Nepal.

“Dalam keadaan bencana seperti sekarang, perkara paling penting ialah keselamatan dan keupayaan operator untuk bertindak sekiranya berlaku perubahan keadaan,” katanya.

@malaysiatribune

Rakyat Malaysia yang bermastautin dan mengusahakan syarikat pelancongan di Nepal, Mohd Noor Amin atau lebih dikenali sebagai Pendaki Solo menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak memasuki daerah Rasuwa yang masih berisiko susulan banjir dahsyat yang melanda kawasan berlembah itu baru-baru ini. #malaysiatribune #beritasemasa #videoreelsシ #trendingnewsmalaysia

♬ Last Hope – Steve Ralph

Mohd Noor turut menasihatkan pelancong supaya mendapatkan maklumat terkini sebelum bergerak ke sesuatu destinasi dan tidak menganggap sesuatu kawasan masih selamat hanya kerana ia sebelum ini merupakan lokasi pelancongan popular.

“Kalau keadaan berubah, kita kena ubah rancangan. Nepal masih mempunyai banyak tempat menarik, jadi tidak perlu mengambil risiko dengan pergi ke kawasan yang sedang dilanda bencana,” katanya yang mengusahakan syarikat pelancongan bersama isterinya, seorang warga tempatan sejak lebih setahun lalu.

Mohd Noor merupakan bekas jurugambar meedia yang pernah mencipta rekod mendaki Gunung Kinabalu secara solo sebanyak 50 kali dalam tempoh 60 hari pada 2007, yang turut diiktiraf dalam Malaysia Book of Records.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button