Pasukan SMART ke Nepal pulang ke Malaysia, 55 rakyat masih direkodkan hilang
KUALA LUMPUR – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menamatkan operasi mencari dan menyelamatkan 55 rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir runtuhan glasier di Nepal dengan pulang ke tanah air hari ini.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini berkata, SMART akan memberikan taklimat mengenai penugasan serta maklumat yang diperoleh sepanjang operasi kepada kementerian sebaik tiba di Malaysia.
Menurut Wisma Putra, sepanjang penugasan, pasukan itu menjalankan pencarian di kawasan yang boleh diakses dengan selamat dan mendapat kebenaran pihak berkuasa Nepal, termasuk operasi darat dan tinjauan udara menggunakan dron.
“Berakhirnya penugasan SMART di lapangan tidak bermakna usaha mendapatkan kepastian mengenai status rakyat Malaysia yang terlibat telah tamat serta tidak mengubah status semasa mereka.
“Kesemua 55 rakyat Malaysia tersebut kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan,” katanya.
Wisma Putra berkata, usaha susulan akan diteruskan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu yang akan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa Nepal, hospital dan agensi berkaitan.
Dalam pada itu, SMART turut terlibat memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat Nepal selain menyerahkan sembilan dron kepada kerajaan negara itu bagi menyokong operasi tindak balas bencana.
Menurut KLN, pihak berkuasa Nepal masih meneruskan usaha pencarian, pengesahan dan pengecaman mangsa susulan bencana berkenaan.
SMART MAS01 yang terdiri daripada 11 anggota dan pegawai tiba di Nepal pada 5 September lalu bagi menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), dengan membawa 12.4 tan peralatan mencari dan menyelamat menggunakan pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








