Gobind mahu rakaman CCTV diteliti, bawa isu penahanan Albert Tei ke Kabinet
KUALA LUMPUR – Menteri Digital, Gobind Singh Deo akan membawa isu penahanan ahli perniagaan, Albert Tei, ke mesyuarat Kabinet susulan timbul dua versi berbeza mengenai cara penahanan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Gobind berkata, laporan polis dibuat isteri Tei, Lee Pei Rie, mendakwa dirinya dan suami diacukan pistol ketika sekumpulan pegawai SPRM berpakaian vest dan balaclava menyerbu kediaman mereka di Puchong minggu lalu.
“SPRM telah menafikan dakwaan itu sepenuhnya dan turut membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
“Bila ada dua versi berbeza, polis perlu menyiasat dengan teliti,” memetik laporan MalaysiaKini.
Menurut beliau, cara paling cepat menyelesaikan pertikaian itu ialah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipercayai merakam keseluruhan kejadian.
“Jika ada permohonan untuk serahkan rakaman kepada peguam atau polis bagi pengesahan fakta, itu permintaan munasabah.
“Prinsipnya mudah iaitu ketelusan. Jika SPRM menafikan dakwaan itu, penafian perlu disokong bukti.
“Rakaman CCTV adalah bukti paling penting untuk menentukan versi mana tepat,” katanya lagi.
Gobind turut berkata, kuasa menyerahkan rakaman CCTV itu berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan membawa perkara tersebut kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Isu ini perlu ditangani berhati-hati kerana ia melibatkan persepsi awam terhadap integriti agensi penguatkuasaan.
“Kerajaan bertanggungjawab memastikan siasatan telus dan tidak menjejaskan kepercayaan rakyat.
“Sebarang keraguan terhadap prosedur penahanan perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan spekulasi berpanjangan,” katanya lagi.
Dalam laporan polis, Lee isteri kepada Albert Teu menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan suaminya dan mendakwa seorang pegawai SPRM mengacukan pistol kepadanya selepas menyedari dia merakam serbuan menggunakan telefon bimbit.
Pegawai itu turut didakwa merampas telefon ahli keluarga lain sebelum memadam rakaman yang disimpan.
Lee juga mendakwa kediamannya diimbas dengan sebuah peranti elektronik.
Namun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menegaskan pegawainya tidak mengacukan senjata dan semua tindakan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
SPRM juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








