El Nino, ajaran sesat antara isu tumpuan Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR – Persediaan kerajaan menghadapi fenomena El Nino, insiden letupan bom tangan ketika latihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta isu penularan ajaran sesat antara perkara yang menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan langkah persediaan kerajaan menghadapi fenomena El Nino yang dijangka memberi kesan kepada sektor pertanian serta bekalan makanan negara.
Antara perkara yang dibangkitkan termasuk kesiapsiagaan berkaitan sumber air untuk pengairan, pengeluaran padi, tanaman makanan, penternakan serta usaha memastikan rantaian bekalan makanan negara kekal mencukupi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa pula dijadual meminta penjelasan Menteri Pertahanan berhubung punca insiden letupan bom tangan ketika latihan ATM baru-baru ini.
Beliau turut mahu mengetahui langkah segera kementerian dalam memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) keselamatan latihan supaya kejadian sama tidak berulang.
Dalam sesi pertanyaan kepada Perdana Menteri, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dijangka membangkitkan mengenai reformasi tadbir urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil Kajian Kebolehlaksanaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190).
Perkara itu meliputi aspek pentadbiran, integriti, tadbir urus serta sistem penyampaian perkhidmatan DBKL.
Bagi sesi pertanyaan lisan pula, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit dijadual meminta penjelasan mengenai cabaran kerajaan menangani penularan ajaran sesat di Malaysia serta langkah intervensi bagi memperkukuh akidah kumpulan yang terpesong.
Selain itu, isu penyakit tidak berjangkit turut diberi perhatian apabila Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu meminta Menteri Kesihatan menjelaskan statistik terkini kes diabetes dan hipertensi bagi tempoh 2024 hingga 2026, khususnya dalam kalangan golongan belia bawah 30 tahun.
Beliau turut mahu mengetahui keberkesanan kempen War on Sugar serta penguatkuasaan cukai gula dalam usaha mengurangkan kadar obesiti nasional.
Persidangan Dewan Rakyat hari ini turut menyaksikan pembentangan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan.
Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 berlangsung selama 16 hari dan dijadualkan berakhir hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








