BERITA SEMASA

Perak pantau ancaman ajaran sesat di platform digital, rentas sempadan

IPOH – Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sentiasa memantau perkembangan ajaran sesat di Perak khususnya penularan menerusi platform digital dan rentas sempadan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setiap aduan dan keraguan diterima daripada orang ramai berhubung ajaran atau amalan yang didakwa bercanggah dengan ajaran Islam akan disiasat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Jabatan Mufti Perak.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri itu berkata, kedua-dua agensi itu akan menjalankan siasatan mengikut prosedur ditetapkan sebelum sebarang tindakan diambil.

“Malahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah) selaku ketua agama negeri pun mengambil maklum dan baru-baru ini Timbalan Mufti (Datuk Zamri Hashim) dan juga Pengarah JAIPk (Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim) memberi taklimat kepada Sultan Perak,” katanya seperti laporan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Taman Lapangan Terbang yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed di sini semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan memperkukuh kerjasama rentas agensi menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan bagi membendung penularan ajaran sesat yang semakin banyak disebarkan melalui platform digital dan rentas sempadan.

Zulkifli berkata kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa proaktif, konsisten dan tegas memantau serta mengambil tindakan terhadap mana-mana doktrin atau dakyah yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata cabaran penguatkuasaan kini semakin kompleks apabila penyebaran ajaran sesat beralih daripada pertemuan fizikal secara rahsia kepada penggunaan media sosial dan aplikasi pesanan, selain berselindung di sebalik program pembangunan kendiri, aktiviti kebajikan, rawatan alternatif serta pengajian agama tidak formal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button