BERITA SEMASA

JBPM periksa 1,172 pusat asuhan kanak-kanak, 373 notis dikeluarkan

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah memeriksa 1,172 pusat asuhan kanak-kanak di seluruh negara hingga Oktober lepas, dengan 373 notis dikeluarkan kepada premis yang gagal mematuhi peraturan keselamatan.

Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, bagi institusi pendidikan rendah dan menengah swasta pula, sebanyak 234 pemeriksaan telah dilaksanakan bagi tempoh sama dengan 41 notis dikeluarkan.

“Kementerian melalui JBPM akan melaksanakan penguatkuasaan melalui aktiviti menghapuskan bahaya kebakaran terhadap premis, secara berjadual.

“Ini bagi memastikan premis berkenaan sentiasa mematuhi syarat ditetapkan dan tidak melakukan apa-apa pindaan pengubahsuaian terhadap premis yang diluluskan kelulusan bagi pelan asal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Prof Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman yang bertanya mengenai langkah dalam memastikan pusat asuhan serta institusi pendidikan rendah dan menengah swasta kanak-kanak yang banyak beroperasi di kompleks perniagaan dan rumah kedai, mematuhi peraturan keselamatan ditetapkan.

Aiman Athirah turut berkata, kementerian sangat menyokong penglibatan pelbagai pihak pemegang taruh dalam memacu pembangunan sektor pendidikan swasta menerusi usaha mempermudahkan proses kelulusan lesen premis perniagaan, tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan pematuhan terhadap undang-undang berkuat kuasa.

Tambahnya, antara keperluan keselamatan yang wajib dipatuhi ialah pemasangan sistem keselamatan kebakaran, penyediaan sekurang-kurangnya dua laluan keluar termasuk pintu dan tangga keluar, pembinaan dinding pengasingan, penempatan alat pemadam api di laluan keluar mudah dilihat, had aktiviti memasak serta pemasangan alat pengesan asap jenis kendiri.

“Pada 2024, sebanyak 1,208 lesen premis perniagaan telah diluluskan oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT). Dalam tempoh itu, 723 operasi pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan syarat kelulusan lesen premis dilaksanakan PBT, dengan 61 tindakan kompaun serta lapan notis dikeluarkan kepada pemilik lesen.

“Pada 2025, sebanyak 1,737 lesen diluluskan dengan 472 operasi pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan yang membawa kepada pengeluaran 96 kompaun serta 23 notis,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button