BERITA SEMASA

Pihak cuba hidupkan ajaran ‘Ayah Pin’ dalam perhatian kerajaan negeri

KUALA TERENGGANU – Beberapa pihak tertentu dikesan cuba menghidupkan kembali ajaran sesat Ayah Pin.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut berkata, perkara itu sedang dalam perhatian kerajaan negeri.

“Dalam makluman dan sedang dalam tindakan pihak berwajib,” katanya ringkas kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan cubaan menghidupkan semula ajaran sesat ‘Kerajaan Langit’ itu di sekitar Besut.

Terdahulu, satu hantaran di akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’ mendedahkan ajaran Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad cuba dihidupkan kembali oleh gerakan pihak-pihak tertentu di sekitar Besut.

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada tahun 1997 telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran berkenaan sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.

Pada April 2005, Pejabat Tanah Daerah Besut telah mengeluarkan notis merobohkan beberapa premis dan replika gergasi di markas Ayah Pin yang mempunyai pengikut seramai lebih 150 orang.

Ariffin meninggal dunia pada 22 April 2016 ketika berusia 74 tahun di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut akibat sakit tua.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button