Kerajaan lancar inisiatif Sejahtera MADANI esok perangi kemiskinan tegar
PUTRAJAYA – Kerajaan akan melancarkan inisiatif Sejahtera MADANI esok sebagai langkah bersepadu dalam membanteras isu kemiskinan tegar di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut melibatkan kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor korporat bagi memastikan bantuan menyeluruh disalurkan kepada golongan miskin dan miskin tegar.
“Esok, saya akan meluncurkan Sejahtera MADANI iaitu ikhtiar untuk terus memastikan kumpulan miskin tegar dan miskin dibantu sewajarnya melalui usaha sama kerajaan dan sektor korporat,” kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung khas sempena pengumuman penghargaan kepada rakyat Malaysia menerusi semua saluran televisyen utama serta platform media sosial hari ini.
Baca juga : Ekonomi Malaysia berada di landasan kukuh – PM Anwar
Terdahulu, Anwar menegaskan, usaha membasmi kemiskinan tegar akan terus menjadi keutamaan kerajaan MADANI melalui pendekatan menyeluruh dan bersasar.
Anwar berkata, sejak awal pentadbiran, kerajaan telah mengambil langkah tegas untuk menoktahkan kemiskinan tegar yang membelenggu rakyat.
“Hasilnya, hampir 150,000 isi rumah berjaya dikeluarkan daripada kelompok miskin tegar pada tahun 2023 dan ada tambahan baharu yang dapat dinoktahkan pada akhir 2024,” katanya.
Anwar menambah, terdapat pelbagai bantuan lain bagi meringankan beban rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM13 bilion.
“Bantuan lain, RM2.9 bilion turut diperuntukkan untuk bantuan kebajikan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), melibatkan golongan warga emas dan kanak-kanak daripada keluarga miskin,” katanya.
Pada masa yang sama, Anwar berkata, kerajaan turut memberi perhatian khusus kepada kebajikan petani dan pekebun kecil menerusi pelbagai langkah sokongan.
“Harga Lantai Belian Padi dinaikkan kepada RM1,500, Skim Subsidi Harga Padi juga ditingkatkan kepada RM500 dan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dinaikkan kepada RM3.00 sekilogram,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan juga telah memperluas pelaksanaan inisiatif Sejati MADANI yang menyalurkan RM100,000 kepada komuniti setempat, sekali gus menjana 8,600 kegiatan ekonomi.
“Ini belum berlaku dalam sejarah apabila kampung mengemukakan pandangan… ada yang cadang untuk beli dron, kolam ikan, kolam lembu dan kita sediakan.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Anwar berkata, Program Kampung Angkat MADANI yang sebelum ini melibatkan 40 buah kampung kini diperluas kepada 200 buah kampung.
Beliau berkata, kerajaan juga telah memperuntukan bajet yang besar kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menjayakan inisiatif Sekolah Angkat MADANI.
“Saya minta kerjasama sektor korporat yang kemudian mengambil bank atau syarikat terutama yang dekat kawasan kegiatan untuk ambil anak angkat sekolah MADANI sehingga 1,000 buah sekolah menjelang akhir tahun ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








