44 tahun menunggu: 98 keluarga Rumah Panjang Bukit Kiara terima dua unit apartmen percuma
KUALA LUMPUR – Penantian selama 44 tahun akhirnya berakhir buat 98 keluarga dari Rumah Panjang Bukit Kiara apabila mereka bakal menerima dua unit apartmen tiga bilik secara percuma menerusi projek pembangunan semula kawasan berkenaan yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, projek tersebut merupakan penyelesaian menyeluruh terhadap isu perumahan yang telah berlarutan sejak beberapa dekad lalu, sekali gus menjamin penempatan kekal kepada semua keluarga terlibat.

Menurutnya, pembangunan itu hanya melibatkan kawasan seluas 5.76 ekar, manakala baki tanah akan diserahkan semula kepada kerajaan untuk diwartakan sebagai kawasan lapang awam bagi kegunaan masyarakat.
“Rumah ganti akan dibangunkan terlebih dahulu supaya penduduk boleh berpindah terus ke kediaman baharu tanpa perlu melalui penempatan sementara,” katanya kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, hari ini.
Majlis tersebut turut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir menyaksikan simbolik pecah tanah projek berkenaan.
Hannah turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan isu yang berlarutan sejak sekian lama itu dapat diselesaikan secara tuntas.
“Pendekatan kerajaan yang menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, selain memelihara Taman Rimba Kiara serta kebajikan penduduk setempat, menjadi faktor utama kepada penyelesaian projek tersebut,” katanya lagi.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi tapak rumah ibadat sedia ada di kawasan berkenaan.
Menurutnya, tapak tersebut akan dikekalkan dan dizonkan secara rasmi sebagai Tapak Rumah Ibadat Bukan Islam bagi memastikan kemudahan itu terus dapat digunakan oleh komuniti setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















