BERITA SEMASA

Penyelarasan Program Matrikulasi dijangka kurangkan pertindihan fungsi KPT-KPM

KUALA LUMPUR – Pengurusan Program Matrikulasi yang kini dalam proses dipindahkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dijangka dapat mengurangkan pertindihan fungsi dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu juga dijangka menjimatkan kos operasi dan menyelaraskan sistem tadbir urus secara menyeluruh, khususnya dalam perancangan kurikulum, pentaksiran, pengurusan kemasukan pelajar serta pemantauan kualiti.

Menurut beliau, Jawatankuasa Pemandu Bersama Tingkatan 6 dan Matrikulasi antara KPT dan KPM telah ditubuhkan pada 19 Disember 2025 bagi meneliti proses kesinambungan pendidikan serta mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada.

“Penyatuan tatakelola ini membolehkan perkongsian sumber, penyelarasan sistem data dan kos operasi yang optimum tanpa menjejaskan kebajikan pelajar atau kualiti pengajaran dan pembelajaran.

“Dari segi jaminan kualiti kemasukan ke universiti awam pula, KPT akan memastikan Program Matrikulasi terus berfungsi sebagai laluan kemasukan yang berwibawa, adil dan berdaya saing.

“Penjajaran yang lebih rapat dengan program asasi universiti awam dijangka meningkatkan kesediaan akademik pelajar, kebolehbandingan standard serta kebolehterimaan pelajar dalam program ijazah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) di Dewan Rakyat hari ini, yang ingin mengetahui pelan pemindahan pengurusan program serta kesan penyelarasan terhadap kualiti kemasukan ke universiti awam.

Menurut Zambry, proses pemindahan sedang diperhalusi termasuk aspek perundangan, kebajikan, kewangan, perjawatan, sistem dan aset.

“Dalam konteks kebajikan pelajar, KPT akan memastikan prinsip no less favourable akan dirujuk bagi memastikan tiada pihak terjejas,” katanya.

Beliau menambah, KPM dan KPT juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili guru Tingkatan Enam, bagi mendapatkan maklum balas sebelum pelaksanaan dimuktamadkan.

“Pemindahan pengurusan ini tidak bertujuan mengubah atau megurangkan unjuran kuota sedia ada, sebaliknya mengekalkan prinsip keterangkuman dan keseimbangan akses pendidikan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button