BERITA SEMASA

Seminar Pendidikan Merentasi Masa Depan bantu pelajar rancang halatuju akademik, kerjaya

KUALA LUMPUR – Pelajar pasca sekolah menengah dan pra universiti perlu diberi pendedahan awal tentang realiti cabaran pendidikan masa depan agar lebih bersedia menentukan halatuju akademik dan kerjaya masing-masing.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya , Profesor Dr Hasniza Zaman Huri, pelajar masa ini bukan sahaja perlu cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga perlu mahir berkomunikasi serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

“Perkembangan digital, keperluan kemahiran baharu, dan persaingan global menuntut pelajar hari ini agar bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah mempunyai sahsiah, kebolehan komunikasi, kepimpinan serta daya tahan diri yang tinggi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pendidikan Merentasi Masa Depan yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Seminar itu dianjurkan oleh Hub Of Curriculum & Instructional Technologies Development (CITeD Hub) dan Fakulti Pendidikan UM.

Ia turut mendapat kerjasama Persatuan Kurikulum Malaysia dan Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCares).

Seminar Pendidikan Merentasi Masa Depan
Seramai 157 peserta yang terdiri daripada pelajar lepasan SPM, Asasi Universiti Malaya, Matrikulasi dan STPM menyertai Seminar Pendidikan Merentasi Masa Depan.

Seminar itu bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar mengenai cabaran masa depan dalam dunia pendidikan, memupuk wawasan serta cita-cita tinggi dalam merancang laluan kerjaya dan membantu persediaan menghadapi temuduga permohonan biasiswa.

Baca juga : Ke mana hala tuju lepasan SPM?

Dr Hasniza berkata, platform seperti seminar ini penting kerana ia menyediakan ruang holistik kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat secara langsung melalui syarahan umum, wacana pendidikan serta sesi perkongsian bersama pelbagai agensi penyedia biasiswa di Malaysia.

“Pelajar perlu mengambil peluang ini untuk menimba ilmu dan bertanya soalan bagi memperkukuh persediaan mereka memasuki alam pengajian tinggi,” katanya lagi.

Seminar selama sehari itu menghimpunkan pelbagai penceramah dan panel berpengalaman yang berkongsi panduan serta tips praktikal dalam merancang masa depan pendidikan dengan lebih tersusun dan berdaya saing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button