
Oleh AZWEEN IRMA ZAINAL
SETIAP tahun ratusan ribu pelajar menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan melangkah keluar dari alam persekolahan dengan pelbagai harapan dan impian.
Namun, detik tamatnya SPM bukanlah noktah sebaliknya permulaan kepada satu persoalan besar yang perlu dijawab – ke mana hala tuju selepas ini?
Dalam dunia yang kian kompleks dan berdaya saing, masa depan pelajar tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada keputusan akademik semata-mata.
Sebaliknya, ia banyak bergantung kepada kebijaksanaan dalam membuat pilihan, kesanggupan untuk terus belajar dan kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan kehendak semasa.

Statistik keputusan SPM 2024
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sejumlah 378,650 calon telah mendaftar dan menduduki peperiksaan SPM bagi tahun 2024.
Daripada jumlah ini, 94 peratus atau 355,933 calon layak menerima sijil SPM, menunjukkan peningkatan daripada 93.5 peratus pada tahun 2023.
Satu pencapaian yang membanggakan dan membuktikan bahawa sistem pendidikan negara terus berkembang.
Selain itu, terdapat seramai 14,179 calon atau 3.7 peratus yang berjaya memperoleh semua A dalam mata pelajaran mereka, meningkat berbanding 11,713 calon atau 3.1 peratus pada tahun 2023.
Walaupun begitu, masih terdapat 1,789 calon yang gagal dalam semua mata pelajaran, meningkat berbanding 1,467 calon pada tahun sebelumnya.

Pengajian tinggi tetap jadi pilihan utama
Bagi pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, menyambung pengajian di peringkat tinggi merupakan laluan utama yang sering dipilih.
Antara pilihan yang ada termasuklah program matrikulasi, asasi, diploma atau ijazah sarjana muda di universiti awam dan swasta.
Pemilihan bidang pengajian seharusnya dibuat berdasarkan minat, kebolehan serta peluang kerjaya.
Pelajar disaran mendapatkan nasihat kaunselor sekolah dan melakukan penyelidikan tentang prospek sesuatu bidang sebelum membuat keputusan.
TVET semakin relevan, bukan pilihan kedua
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semakin diiktiraf sebagai satu laluan utama dalam pembangunan modal insan negara.
Institusi seperti Politeknik, Kolej Komuniti, ILP dan GiatMARA menawarkan kursus berasaskan kemahiran yang bertepatan dengan keperluan industri.
Graduan TVET mempunyai kelebihan dari segi kebolehpasaran kerja kerana dilatih secara langsung mengikut kehendak sektor pekerjaan.
Malah, TVET kini turut menawarkan peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk ijazah sarjana muda secara modular.

Ada pelajar yang memilih untuk terus bekerja sebaik sahaja tamat SPM atas pelbagai faktor antaranya keperluan kewangan, tanggungjawab keluarga atau ingin menimba pengalaman.
Namun, bekerja awal bukan alasan untuk berhenti menimba ilmu.
Sebaliknya, pengalaman bekerja boleh dimanfaatkan untuk mengenali minat sebenar, membina kemahiran komunikasi dan mengukuhkan disiplin diri.
Peluang untuk belajar secara dalam talian juga semakin terbuka luas kepada mereka yang ingin meningkatkan pengetahuan sambil bekerja.
Usahawan digital
Dalam era digitalisasi, semakin ramai anak muda memilih jalan keusahawanan sebagai hala tuju selepas SPM.
E-dagang, perniagaan atas talian dan penglibatan dalam platform seperti Shopee, TikTok Shop atau perkhidmatan seperti penghantaran makanan telah membuka peluang baharu untuk menjana pendapatan.
Bahkan ramai dalam kalangan mereka yang berjaya tanpa laluan akademik konvensional – asalkan mempunyai semangat, kreativiti dan kesungguhan.
Namun begitu, aspek ilmu perniagaan, pemasaran digital dan pengurusan kewangan tetap penting untuk memastikan kejayaan berterusan dalam bidang.
Dalam dunia pekerjaan masa kini, ilmu dan kemahiran sentiasa berevolusi.
Maka, pembelajaran tidak boleh terhenti hanya pada tahap SPM atau universiti.

Konsep pembelajaran sepanjang hayat harus dijadikan budaya dalam kalangan generasi muda.
Platform digital kini membolehkan sesiapa sahaja mempelajari kemahiran baharu – sama ada dalam teknologi, komunikasi, pengurusan perniagaan atau kemahiran insaniah.
Inisiatif seperti program Microcredential KPT, latihan digital MDEC dan pensijilan industri oleh Google, Coursera dan Microsoft wajar dimanfaatkan sepenuhnya.
Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang cintakan ilmu tidak kira usia, latar belakang atau status sosial.
Apa juga hala tuju yang dipilih oleh lepasan SPM sama ada meneruskan pengajian, memilih laluan TVET, memasuki alam pekerjaan atau menjadi usahawan, semuanya adalah sah dan bermanfaat jika disertai dengan kesungguhan serta iltizam untuk maju.
Malah, kombinasi antara pembelajaran formal dan tidak formal, pengalaman bekerja dan penggunaan teknologi boleh menjadi resipi kejayaan yang lebih holistik.
Sebagai ibu bapa, guru dan masyarakat, kita harus memberi sokongan moral serta galakan kepada golongan muda dalam memilih jalan hidup mereka.
Panduan dan dorongan amat penting supaya setiap keputusan dibuat dengan penuh kesedaran dan keyakinan.
Akhirnya, masa depan tidak ditentukan oleh keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi oleh kesanggupan untuk terus belajar, memperbaiki diri dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
Pendidikan bukan satu destinasi tetapi ia adalah perjalanan sepanjang hayat.
* Penulis merupakan Pensyarah dan Ketua Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kolej Komuniti Rembau, Negeri Sembilan

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |