Piala Dunia TM ISTAF: Malaysia mula langkah kanan benam Jepun
KUALA LUMPUR – Skuad regu negara memulakan kempen TM ISTAF Sepaktakraw World Cup 2026 dengan bergaya apabila menewaskan Jepun 2-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Titiwangsa, malam tadi.
Malaysia yang dibarisi Syahir Rosdi selaku tekong, Farhan Adam sebagai pengumpan dan Azlan Alias di posisi perejam tidak berdepan masalah untuk menguasai permainan sebelum memenangi set pertama dengan keputusan 15-4.
Pada set kedua, jurulatih negara melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Haziq Hairul Nizam dan Noraizat Nordin bagi memperkemaskan corak permainan pasukan.
Namun, skuad negara sedikit dikejutkan apabila Jepun terlebih dahulu mendahului 13-11 sekali gus memberi tekanan kepada tuan rumah.
Meskipun begitu, pengalaman dimiliki pemain negara membantu mereka bangkit menyamakan kedudukan 13-13 sebelum melengkapkan kemenangan 15-13.
Keputusan itu sekali gus memastikan Malaysia meraih kemenangan straight set ke atas wakil Asia Timur tersebut untuk memulakan kempen dengan langkah positif.
Kemenangan berkenaan turut menjadi tonik awal buat skuad negara dalam misi memburu kejayaan pada kejohanan berprestij itu.
Malaysia dijadualkan meneruskan aksi Kumpulan A menentang Singapura, Isnin ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








