BERITA SEMASA

Penggambaran dalam masjid untuk siaran awam perlu kebenaran MAINJ

JOHOR BAHRU – Tindakan merakam serta menularkan kandungan di dalam kawasan masjid tanpa kebenaran disifatkan sebagai tidak wajar selain bertentangan dengan adab, etika dan peraturan yang telah ditetapkan.

Jawatankuasa Pengurusan Masjid Sultan Abu Bakar berkata, perbuatan merakam individu lain di dalam masjid tanpa keizinan juga termasuk dalam pelanggaran garis panduan yang dikuatkuasakan.

“Sebarang aktiviti penggambaran dan rakaman video untuk tujuan siaran awam adalah tertakluk sepenuhnya kepada Garis Panduan Aktiviti Penggambaran di Masjid dan Surau Negeri Johor Tahun 2020 yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Pada dasarnya, pihak Jawatankuasa Pengurusan Masjid Sultan Abu Bakar tidak menolak kehadiran mana-mana pihak dan tidak menghalang aktiviti penggambaran di kawasan masjid.

“Namun, sebarang penggambaran dan rakaman video bagi tujuan siaran awam hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan yang ditetapkan oleh MAINJ,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Sehubungan itu, jawatankuasa berkenaan menegaskan mana-mana individu atau pihak yang berhasrat menjalankan aktiviti penggambaran perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu melalui saluran rasmi yang ditetapkan.

Tambah kenyataan itu, pematuhan terhadap peraturan, adab serta sensitiviti institusi masjid merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.

“Prinsip menghormati undang-undang dan aturan setempat wajar dijadikan pedoman bagi memelihara keharmonian, ketertiban serta kesucian rumah ibadat,” katanya lagi.

Terdahulu, tular di media sosial satu video dimuat naik pemilik akaun Instagram ‘Myer Travels’ pada Sabtu lalu yang memaparkan pengalamannya berkunjung ke Masjid Sultan Abu Bakar di sini.
Menerusi video berdurasi satu minit 14 saat itu, pemilik akaun berkenaan merakam keadaan di dalam dan sekitar masjid serta memuji keindahan seni bina masjid bersejarah itu.

Bagaimanapun, pada penghujung video tersebut, individu berkenaan ditegur oleh seorang lelaki yang memaklumkan bahawa sebarang rakaman video di masjid berkenaan adalah tidak dibenarkan tanpa kebenaran pihak pengurusan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button