2026 tahun ‘bahagia’ warga pendidik
KUALA LUMPUR – Susunan cuti penggal sekolah yang panjang serta kedudukan cuti umum yang bertindih dengan hujung minggu menjadikan tahun 2026 dilihat sebagai antara tahun paling ‘bahagia’ buat warga pendidik.
Ia berikutan bilangan hari persekolahan bagi beberapa bulan didapati jauh lebih singkat berbanding kebiasaan.
Keadaan itu bukan sahaja memberi ruang kepada guru merancang masa rehat dan urusan keluarga dengan lebih teratur, malah secara tidak langsung mengurangkan jumlah hari persekolahan dalam bulan-bulan tertentu sepanjang tahun berkenaan.
Perkara itu tular selepas seorang guru dikenali sebagai @DhaniahZahari memuat naik satu paparan bertajuk Bilangan Hari Persekolahan Tahun 2026 menerusi aplikasi Threads.
“Kebahagiaan cikgu-cikgu untuk tahun ini,” tulis guru terbabit di ruangan kapsyen.
Paparan tersebut memperincikan jumlah hari persekolahan mengikut bulan dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya termasuk guru serta ibu bapa.
Antara yang mencuri perhatian, Januari, Februari dan Mac masing-masing dicatatkan hanya mempunyai 15 hari persekolahan, manakala Disember pula direkodkan paling singkat dengan hanya empat hari persekolahan.
Sementara itu, April dan Oktober masing-masing mempunyai 22 hari persekolahan, Julai 23 hari manakala Ogos dan November pula mencatatkan 19 hari.
Secara keseluruhan, jumlah hari persekolahan bagi tahun 2026 adalah sebanyak 202 hari.
Bagaimanapun, paparan itu turut memaklumkan bahawa jumlah berkenaan tidak termasuk cuti peristiwa yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
Hantaran berkenaan mengundang pelbagai reaksi netizen apabila ada yang menyifatkan tahun 2026 sebagai ‘tahun emas’ buat golongan pendidik.
“Ramai lagi yang nak jadi cikgu lepas ni bila tengok paparan ni. Selamat bercuti cikgu semua,” komen seorang pengguna dikenali sebagai @Adell.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








