Rakam gambar ‘bawah kain’ wanita, lelaki ditahan polis
TAMPIN – Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki merakam gambar tidak senonoh dari bawah kain seorang wanita ketika mangsa sedang membeli-belah di sebuah pasar raya di daerah ini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 petang, mangsa berusia 34 tahun mendakwa diekori oleh suspek sebelum lelaki terbabit bertindak mengambil gambar dari sudut tidak wajar.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang penjawat awam wanita tempatan sekitar pukul 3.45 petang hari yang sama.
“Pengadu memaklumkan dia diekori oleh seorang lelaki tidak dikenali sebelum suspek dipercayai mengambil gambar dari bahagian bawah kain ketika mangsa berada di sebuah pasar raya di kawasan Tampin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil maklumat awam dan siasatan lanjut, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun di kawasan Kampung Baru Tampin kira-kira pukul 5.30 petang.
Katanya, suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 29 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507A dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








