AGAMAGAYA HIDUP

Menutup aurat: Perbetul niat, kefahaman dan ketaatan kepada Allah

MENUTUP aurat merupakan salah satu kewajipan dalam Islam yang termasuk dalam ilmu fardu ain iaitu ilmu yang wajib dipelajari, difahami dan diamalkan oleh setiap mukalaf.

Pegawai Turus Agama, Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Ustazah Dr Nor Dalilah Zakaria berkata, amalan menutup aurat bukan sekadar fizikal tetapi mencerminkan akidah, fiqh dan tasawuf seseorang.

Aurat
Seseorang Muslimah perlu memahami menutup aurat adalah perintah Allah yang wajib ditaati, bukan sekadar ikut-ikutan. – Foto janaan AI

“Cara seorang Muslimah menutup aurat mencerminkan ketaatan kepada Allah dan kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai hamba-Nya.

“Amalan bertudung walaupun hanya kerana ikut-ikutan tetap dianggap baik dan mendapat pahala.

“Namun, niat dan kefahaman perlu diperbetulkan agar amalan itu menjadi ibadah yang ikhlas,” kata beliau kepada Malaysia Tribune.

Menurutnya lagi, Islam menekankan bahawa niat adalah asas setiap amal ibadah.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niatnya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Menutup aurat bukan sekadar trend, budaya atau arahan ibu bapa dan sekolah tetapi adalah perintah Allah yang wajib ditaati demi menjaga maruah dan kehormatan diri seorang wanita,” tegasnya.

Anak-anak perlu dididik dengan kefahaman akidah sejak kecil agar mereka memahami kewajipan dalam mentaati perintah Allah.

Firman Allah SWT: “Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara auratnya.” (Surah An-Nur, 24:31)

Tambah beliau, bagi anak-anak yang bertudung sejak kecil, amalan itu tetap sah di sisi Islam walaupun mereka belum memahami maksud dan hikmah menutup aurat.

“Amal zahir yang selari dengan syariat tetap diterima oleh Allah tetapi apabila baligh, mereka wajib memperbetulkan niat dan menanam kefahaman bahawa menutup aurat adalah ibadah kerana Allah, bukan sekadar formaliti.

“Ini membolehkan amalan bertudung menjadi manifestasi ketaatan hati dan rohani,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Nor Dalilah menegaskan, proses mendidik anak agar memahami kewajipan menutup aurat harus bermula dengan pendidikan akidah sejak awal.

Ibu bapa boleh memupuk amalan anak-anak bertudung sejak kecil ketika di bangku sekolah agar mereka istiqamah menutup aurat hingga dewasa. – Gambar hiasan

“Anak-anak perlu memahami bahawa setiap perintah dalam Islam datang daripada Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Mengasihi.

“Ayat-ayat Al-Quran yang mudah difahami seperti surah An-Nur ayat 31, boleh digunakan sebagai asas pengajaran.

“Selain itu, ibu bapa perlu menjadi teladan konsisten, membawa anak-anak ke majlis ilmu dan menggunakan kisah wanita solehah sebagai inspirasi supaya anak melihat menutup aurat sebagai satu kehormatan dan tanda kecintaan kepada Allah,” ungkapnya.

Di samping itu ujarnya, hikmah menutup aurat juga perlu dijelaskan secara praktikal dan rohani supaya anak-anak lebih memahami kewajipan tersebut.

“Ibu bapa perlu menerangkan bahawa amalan ini bukan sekadar menutup aurat fizikal tetapi melindungi diri daripada fitnah, menjaga maruah dan meneguhkan iman.

“Pendidikan yang menyeronokkan, dialog terbuka dengan anak disertai dorongan dan kata-kata motivasi akan menjadikan proses pembelajaran lebih efektif.

“Tidak lupa, berdoa dan memohon kepada Allah agar memberi kefahaman dan keikhlasan juga sangat penting bagi ibu bapa,” jelasnya lagi.

Ustazah Dr Nor Dalilah 

Bagaimanapun, Dr Nor Dalilah memberitahu, terdapat kesilapan besar yang sering berlaku apabila anak diajar bertudung terlalu awal tanpa penekanan kepada aspek akidah dan kefahaman.

“Bertudung sekadar kerana adat atau paksaan boleh menimbulkan tekanan, konflik dalaman dan rasa memberontak apabila anak meningkat dewasa.

“Amalan bertudung tanpa kefahaman juga mudah dilihat sebagai rutin kosong atau fesyen semata-mata.

“Ini akan melemahkan asas keimanan dan memudahkan pengaruh negatif luar untuk meruntuhkan amalan yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas,” tegasnya.

Kaum wanita merupakan makhluk ciptaan Allah yang istimewa dan tinggi darjatnya di dalam Islam.

Menurut beliau lagi, membezakan amalan menutup aurat kerana iman dan kerana adat atau tekanan sosial bergantung kepada niat dan pemahaman seseorang.

“Antara ciri-ciri amalan menutup aurat kerana iman termasuklah dilakukan dengan konsisten, menyandarkan ketaatan kepada Allah, disertai ilmu, hati yang tawaduk dan usaha memperbaiki diri secara menyeluruh.

“Sebaliknya, amalan yang dibuat kerana adat atau tekanan sosial biasanya sekadar formaliti, dipengaruhi persekitaran, tiada pemahaman syariah, mudah berubah dan tidak melibatkan hati serta niat kepada Allah.

“Amalan yang ikhlas kerana Allah diterima dan diberi pahala, manakala yang lain perlu diperbaiki melalui ilmu dan keikhlasan,” katanya.

Dr Nor Dalilah juga menegaskan Islam menekankan bahawa ketidakfahaman bukan alasan untuk meninggalkan kewajipan.

wanita solehah
Dengan pendekatan yang betul, seorang Muslimah akan menutup aurat dengan penuh kesedaran, menjaga maruah diri dan memperkukuh identiti sebagai wanita Islam. 

“Menolak atau meremehkan perintah menutup aurat boleh menjejaskan akidah, membawa dosa besar dan merosakkan maruah serta kehormatan seorang Muslimah.

“Oleh itu, setiap individu wajib berusaha mencari ilmu daripada sumber yang sahih dan memperbaiki niat supaya amalan menutup aurat menjadi tanda ketaatan sejati kepada Allah,” pesannya.

Secara keseluruhan, menutup aurat bukan sekadar tindakan fizikal tetapi amal ibadah yang menyeluruh.

Ia memerlukan niat ikhlas, kefahaman akidah, ilmu fiqh, kesedaran rohani dan pendidikan berterusan sejak kecil.

“Dengan pendekatan yang betul, seorang Muslimah akan menutup aurat dengan penuh kesedaran, menjaga maruah diri dan memperkukuh identiti Islamnya.

“Amalan ini bukan sahaja membawa pahala di dunia, tetapi juga ganjaran di akhirat bagi mereka yang melaksanakannya dengan niat tulus kerana Allah SWT,” tegas Dr Nor Dalilah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button