Semua artis sokongan tarik diri daripada jelajah Ed Sheeran
LOS ANGELES – Kesemua artis sokongan yang masih terlibat dalam jelajah Ed Sheeran di Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penarikan diri selepas penyanyi rap Macklemore disingkirkan daripada barisan persembahan susulan kenyataan pro-Palestin yang dibuatnya di pentas.
Menurut laporan BBC News, antara yang menarik diri ialah Finneas, adik kepada penyanyi Billie Eilish yang menyatakan artis tidak seharusnya didiamkan apabila bersuara mengenai nasib golongan yang ditindas.
Penyanyi dan penulis lagu dari Ireland, Aaron Rowe; kumpulan Denmark, Lukas Graham serta kumpulan muzik folk Ireland, Beoga yang sebelum ini membuat persembahan bersama Sheeran setiap malam, turut mengumumkan penarikan diri.
Perkembangan itu berlaku beberapa jam selepas Sheeran berkata beliau tidak mahu terheret dalam perdebatan terbuka mengenai konflik di Gaza selain menegaskan keputusan menyingkirkan Macklemore daripada jelajah berkenaan bukan dibuat olehnya.
“Macklemore dikeluarkan daripada jelajah atas keputusan penganjur, bukan saya,” kata Sheeran menerusi Instagram.
Beliau berkata, dirinya tidak mahu mengecewakan peminat yang sudah membuat perancangan untuk menghadiri persembahan selain meninggalkan kru jelajah, artis sokongan dan pemuzik lain yang bergantung kepada pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan.
Kontroversi tercetus awal bulan ini apabila Macklemore atau nama sebenarnya Benjamin Haggerty menyeru supaya Palestin dibebaskan ketika mengadakan persembahan di New Jersey, selain memaparkan imej kemusnahan di Gaza.
Kenyataannya menerima kritikan daripada beberapa kumpulan Yahudi, sebelum beberapa lokasi persembahan dilaporkan memberi tekanan kepada penganjur jelajah supaya menggugurkan penyanyi rap terbabit.
BACA JUGA:
Macklemore pertahan ‘Free Palestine’ walau digugurkan daripada jelajah Ed Sheeran
Sheeran berkata, beliau sudah berbincang dengan pihak venue sepanjang minggu bagi mencari jalan penyelesaian, namun penganjur, Messina Touring Group akhirnya membuat keputusan untuk menyingkirkan Macklemore.
Dalam kenyataannya, Sheeran turut berkata, beliau berasa kecewa dengan konflik Israel-Palestin dan menyifatkan penderitaan serta kesakitan yang dialami kedua-dua pihak sebagai tragedi kemanusiaan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan keputusannya untuk tidak menggunakan platform profesional bagi membincangkan isu politik secara terbuka kerana penontonnya terdiri daripada golongan pelbagai latar belakang termasuk kanak-kanak.
Sheeran berkata, terdapat ruang untuk pendekatan berbeza dalam usaha mencapai matlamat yang sama iaitu keamanan.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap artis sokongan, termasuk Macklemore diberikan kebebasan menentukan senarai lagu untuk persembahan masing-masing.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menghalang beberapa artis lain daripada meninggalkan jelajah tersebut.
Kontroversi bermula pada 4 September apabila Macklemore membuat persembahan di MetLife Stadium, New Jersey.
Dalam persembahan itu, beliau melaungkan sokongan terhadap Palestin sebelum menyampaikan lagu Hind’s Hall yang didedikasikan kepada penunjuk perasaan pro-Palestin di Columbia University dan mengkritik tindakan ketenteraan Israel di Gaza.
Rakaman kemusnahan di Gaza turut dipaparkan pada skrin besar ketika persembahan berlangsung.
Tindakan itu menerima sorakan daripada sebahagian penonton, namun turut mencetuskan kritikan di media sosial.
Israeli American Council kemudian melancarkan petisyen supaya Macklemore dikeluarkan daripada jelajah, manakala kumpulan StopAntisemitism menuduh persembahan itu sebagai propaganda, dakwaan yang turut dikongsi penyanyi Pink di Instagram.
Pada persembahan keesokan harinya, Macklemore kembali ke pentas dan secara langsung menyampaikan mesej kepada penonton beragama Yahudi, dengan menegaskan bahawa kritikan terhadap Israel, apartheid atau pembunuhan beramai-ramai bukanlah kritikan terhadap mereka.
Selepas beberapa hari menjadi perhatian media, Macklemore pada Isnin mengumumkan beliau digugurkan daripada barisan persembahan jelajah berkenaan.
Macklemore mendakwa tindakan itu berkait dengan kempen yang dikaitkan dengan Robert Kraft, pemilik stadium di Massachusetts, Gilette Stadium.
Tegasnya, walaupun hanya sempat mengadakan dua persembahan dalam jelajah itu, beliau menganggapnya sebagai jelajah paling berjaya dalam kerjayanya sekiranya kenyataannya dapat mengembalikan perhatian masyarakat kepada isu Palestin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








