JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket eksploitasi kahwin warga asing tumpas di Putrajaya

PUTRAJAYA – Tindakan licik sindiket yang mengeksploitasi warga emas tempatan untuk urusan perkahwinan dengan warga asing akhirnya tumpas apabila lima lelaki tempatan diberkas dalam satu serbuan khas oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula pukul 9.19 pagi itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Serbuan dijalankan di sekitar Putrajaya berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 66 tahun yang disyaki terbabit dalam sindiket berkenaan, termasuk empat individu dipercayai dalang utama dan seorang lagi bertindak sebagai orang tengah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan pelbagai barangan dan dokumen dipercayai berkaitan sindiket berkenaan.

Antaranya enam pasport Malaysia, 22 pasport China, tujuh pasport Bangladesh, tiga pasport Indonesia, dua pasport Vietnam, serta masing-masing satu pasport Myanmar dan Macau.

Turut dirampas ialah satu unit komputer riba, dua mesin cetak, 26 ‘fail’ mengandungi dokumen Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dua beg galas, wang tunai RM3,070 serta dua buah kenderaan jenis Perodua Bezza dan Honda CRV yang dipercayai digunakan sindiket.

“Mereka dipercayai menawarkan perkhidmatan permohonan ‘isteri kepada warganegara tempatan’ serta perkahwinan antara warga asing dan warganegara dengan bayaran antara RM50 hingga RM500 bagi setiap permohonan.

“Sindiket ini menyasarkan warga emas tempatan yang ingin berkahwin dengan warga asing, khususnya di kawasan Lembah Klang dan dipercayai telah beroperasi selama setahun,” katanya lagi.

Zakaria berkata, semua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya bagi tindakan lanjut.

Beliau berkata, JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang bentuk pelanggaran undang-undang.

“Langkah ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan tadbir urus berintegriti dan keselamatan nasional demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button