BERITA SEMASA

Cubaan tekong Thailand seludup 450 liter petrol gagal, ditahan APMM Kuala Perlis

KUALA PERLIS – Cubaan seorang tekong warga Thailand menyeludup keluar petrol ke negara jiran gagal apabila bot kayu yang dikendalikannya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, bot ronda APMM mengesan sebuah bot asing tanpa nombor pendaftaran pada jarak 0.32 batu nautika dari barat Pulau Ketam selepas menerima maklumat risikan ketika rondaan Operasi Aman dan Operasi Tiris dijalankan.

“Hasil pemeriksaan awal, suspek mendakwa hanya membawa tong kosong, namun pemeriksaan lanjut menemukan 20 tong berisi petrol dianggarkan 450 liter.

“Bot berkenaan dikendalikan seorang tekong berusia 25 tahun dari Thailand dan dipercayai cuba menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran menggunakan laluan laut yang sunyi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 29 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa dokumen sah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan petrol dianggarkan lebih RM17,000.

“Suspek bersama hasil rampasan dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button