BERITA SEMASA

Kecurian kabel punca gangguan laluan Putrajaya

KUALA LUMPUR – Gangguan perkhidmatan laluan Putrajaya hari ini disyaki berpunca daripada kejadian kecurian kabel bekalan kuasa berhampiran Stesen Damansara Damai.

Rapid Rail berkata, siasatan awal pasukan kejuruteraan mengesahkan kabel bekalan kuasa telah dipotong, sekali gus menyebabkan gangguan serius antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Damansara Damai.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan berskala besar sedang dilaksanakan dan dijangka berterusan sehingga tamat waktu operasi hari ini.

“Insiden ini mengakibatkan gangguan bekalan kuasa dan menjejaskan kelancaran operasi tren di laluan terlibat.

“Pasukan teknikal sedang bertungkus-lumus memulihkan perkhidmatan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan gangguan berkenaan, pihak operasi mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif bagi memastikan pengguna masih boleh meneruskan perjalanan.

Bagi laluan Putrajaya, tren dari Stesen Putrajaya Sentral akan berpatah balik di Stesen Metro Prima dengan kekerapan enam minit, manakala tren perantara ulang-alik beroperasi antara Stesen Metro Prima dan Stesen Damansara Damai setiap lapan minit.

Selain itu, tren dari Stesen Kwasa Damansara akan berpatah balik di Stesen Damansara Damai dengan kekerapan lapan minit.

Rapid Rail turut memaklumkan, penumpang dijangka mengalami tempoh menunggu lebih lama terutama di antara Stesen Metro Prima hingga Stesen Damansara Damai.

Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan, anggota polis bantuan serta petugas stesen ditempatkan di platform dan ruang legar untuk membantu penumpang, selain pengumuman berkala dibuat mengenai jadual perjalanan tren.

Sehubungan itu, orang ramai disaran mendapatkan pengangkutan alternatif lain dan merujuk media sosial rasmi Rapid KL untuk mendapatkan maklumat terkini status perkhidmatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button